ADB Unjur Ekonomi China Tumbuh 8.1 Peratus Tahun Ini

2021-09-23 13:42:44  CRI
Share with:

Bank Pembangunan Asia (ADB) mengunjurkan ekonomi China mencatat pertumbuhan pada kadar 8.1 peratus tahun ini dan 5.5 peratus tahun depan.

Menurut laporan terkini "Prospek Pembangunan Asia 2021", ADB mengekalkan unjuran yang dibuat pada April berdasarkan  kemampanan eksport China serta sokongan kewangan kerajaan pada separuh tahun kedua yang dilihat  mampu mendukung ekonomi negara Tembok Besar ini.

Penganalisis dari pejabat perwakilan ADB di China, Qi Wen berkata, permintaan pasaran domestik yang terus ditambah baik serta pengeksportan yang memberangsangkan akan menjadi pemacu utama kepada pemulihan ekonomi China pada 2021.

"Walaupun masih memerlukan suatu tempoh bagi pemulihan perbelanjaan dalam kalangan rakyat, namun sebahagian kesannya akan diredakan oleh dasar kewangan dan pengeksportan yang kukuh," ujarnya.

Laporan ADB juga menunjukkan bahawa pelaburan asing di China tetap mampan pada separuh pertama tahun ini, dengan nisbah daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik kepada 1.5 peratus berbanding 0.3 peratus pada tempoh sama tahun lepas.

Jelas Qi, senario tersebut sekali gus turut memperlihatkan keyakinan pelabur asing yang kian bertambah.

"Pertumbuhan ekonomi China yang kukuh pada 2020 serta prospek cemerlangnya pada tahun ini antara faktor utama yang meningkatkan keyakinan pelabur asing.

"Selain itu, ia turut didorong oleh faktor pencegahan wabak COVID-19 yang berkesan termasuk di beberapa wilayah pada kebelakangan ini," tambah beliau.

张哲