Gao Fenglin, "Tukang Jahit" Roket

2021-09-24 10:32:59  CRI
Share with:

Cerita China hari ini bermula dengan kisah Profesor Ding Zhaozhong, saintis terkemuka dunia yang memenangi Hadiah Nobel dalam Fizik pada 1976.

Sejak 1996, Ding menceburkan diri dalam penyelidikan antijirim dan jirim gelap. Dengan sokongan daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), beliau menubuhkan sebuah kumpulan penyelidikan melibatkan lebih 600 orang saintis dari 50 buah universiti di 16 buah negara.

Hasil utamanya, sebuah alat pengesan fizik zarah yang dinamai  Spektrometer  Magnet Alpha-02 telah dicipta oleh kumpulan penyelidikan tersebut bagi mencari antijirim dan jirim gelap di ruang angkasa lepas.

Namun, perkara yang memeningkan kepala para saintis adalah bagaimana melakukan pengimpalan pada alat yang menelan kos USD2 bilion itu.

Profesor Ding telah menolak dua cadangan tentang kerja pengimpalan tersebut kerana ia tidak memenuhi piawaian yang dikehendakinya.

“Setahu saya, ada seorang pengimpal roket yang berkemahiran sangat tinggi di Beijing. Apa kata menjemput dia untuk membuat pengimpalan tersebut?”

Cadangan itu dikemukakan seorang anggota kumpulan penyelidikan, namun ia turut menimbulkan kesangsian kerana pengimpal yang disebutnya hanya seorang lepasan politeknik.

Pengimpal roket yang direkemen itu bernama Gao Fenglin, seorang tukang kimpal projek penerbangan angkasa lepas paling berprestij di China hingga digelar “tukang jahit” roket.

Selepas menerima jemputan daripada profesor Ding untuk membantu mengimpal alat istimewa itu, Gao mula meneliti kaedah yang sesuai menerusi ujian intensif. Akhirnya, tercetuslah satu idea matang yang dapat mengatasi segala masalah dengan baik.

Gao Fenglin bertugas di Kumpulan Sains dan Teknologi Aeroangkasa China (CASC) sebagai seorang tukang kimpal veteran.

Pengimpalan komponen roket bukanlah suatu kerja yang mudah, tetapi sangat mencabar dan memerlukan kemahiran luar biasa.

Hal ini dapat dilihat daripada pengalaman Gao ketika mengimpal paip penyembur roket.

Walaupun komponen itu setinggi dua manusia, namun kerja mengimpal paip mini di atasnya memerlukan teknik yang sangat halus. Ini kerana paip mini itu hanya setebal 0.33 milimeter sahaja.

Paip mini itu berfungsi untuk menyalurkan hidrogen cecair yang digunakan sebagai bahan penyejuk enjin roket.

Komponen itu sangat penting bagi memastikan roket dapat terbang dengan selamat.

Kerja mengimpal paip mini tersebut melibatkan kimpalan sepanjang 900 meter, dan perlu dilakukan dengan sekali gus.

Oleh itu, tukang kimpal harus menumpukan sepenuh perhatiannya bagi memastikan tiada sebarang kesilapan berlaku. Ini kerana sedikit pun kesilapan akan menyebabkan komponen roket yang penting itu langsung rosak.

Daripada roket pembawa Long March siri III hingga siri V, kerja pengimpalannya juga memerlukan teknik yang lebih halus.

Suatu hari, Gao diminta membantu membaiki kerosakan yang berlaku pada kemudahan ujian enjin roket.

Bagi mengelakkan kebakaran akibat api yang disemburkan daripada enjin roket, kemudahan itu dibina pada suatu tempat setinggi puluhan meter dari bumi.

Tanpa teragak-agak, Gao yang menggendong kelengkapan kimpalan memanjat ke atas fasiliti itu.

Diikat dengan tali keselamatan, Gao memegang tubir fasiliti berkenaan dengan sebelah tangan, dan menggunakan sebelah tangan lain untuk mengimpal bahagian yang rosak.

Dengan memberi sepenuh perhatian pada kerja mengimpal, Gao seolah-olah terlupa dirinya berada di tempat yang amat tinggi dan berbahaya.

Setengah jam kemudian, Gao berjaya membaiki kerosakan berkenaan dan turun dengan perlahan-lahan.

Rakan sekerjanya baru mendapati baju Gao sudah basah lencun bermandi peluh.

Gao mendapat pujian ramai bukan sahaja kerana mempunyai kepandaian luar biasa dalam kerja pengimpalan, tetapi juga kesediaannya berbakti untuk kemajuan aeroangkasa negara.

Beliau pernah menolak jemputan untuk bekerja di syarikat asing, meskipun dijanjikan pendapatan yang sangat tinggi. 

张哲