Wang Yi, Saifuddin Abdullah Bincang Hubungan Kerjasama

2021-09-30 14:20:53  CRI
Share with:

China dan Malaysia diharap dapat mengekalkan pertukaran bertaraf tinggi, mengoptimumkan peranan mekanisme baharu jawatankuasa kerjasama, memperdalam pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memperhebat "dua taman di dua negara" serta mempergiat kerjasama dalam bidang baharu.

Demikian ujar Menteri Luar China, Wang Yi ketika mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Luar Malaysia, Dato' Saifuddin Abdullah menerusi panggilan telefon pada Rabu.

Menurut Wang, kedua-dua negara adalah jiran baik serta mempunyai hubungan akrab, dan China juga merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia untuk 12 tahun berturut-turut, selain pelabur terbesar bagi perkilangan Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

Beliau berkata, ia sekali gus menonjolkan keadaan ekonomi yang saling melengkapi dan potensi kerjasama antara satu sama lain.

Ketika menyentuh tentang wabak COVID-19, Wang berkata China akan terus menyokong usaha Malaysia membendung wabak itu dan mendorong kerjasama vaksin.

Ujarnya, China bersedia untuk bersama Malaysia meningkatkan perpaduan dalam perjuangan dengan wabak, di samping menentang amalan menuding jari terhadap negara lain dan mempolitikkan usaha merungkai asal usul wabak.

Mengenai Inisiatif Pembangunan Global yang dikemukakan Presiden Xi Jinping dalam Perhimpunan Agung Ke-76 PBB, Wang menyatakan harapan agar Malaysia dapat terlibat dalam inisiatif terbabit secara aktif, mendorong pembangunan global yang lebih kuat, hijau dan sihat, sekali gus mempercepat pencapaian matlamat Agenda Pembangunan Mampan PBB 2030.

Sementara itu, rakan sejawatannya, Saifuddin yang turut menzahirkan ucapan tahniah atas sambutan ulang tahun ke-72 Republik Rakyat China itu juga menyatakan penghargaannya terhadap peranan China sebagai teladan dalam menyatupadukan dunia membendung wabak dan mewujudkan pembangunan bersama.

Tambah beliau, Malaysia menghargai pembekalan vaksin dan kerjasama penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran vaksin, selain turut menanti-nantikan kerjasama dalam perubatan tradisional.

Jelas Saifuddin lagi, Malaysia tidak berganjak daripada usaha mengembangkan hubungan dengan China, dan berharap mencari potensi kerjasama dalam BRI.

Difahamkan, kedua-dua pihak turut mencapai kata sepakat untuk mendorong perkongsian kerjasama strategik China-ASEAN ke aras baharu dengan mengambil momentum ulang tahun terjalinnya hubungan dialog.

Dalam perbualan tersebut, dilaporkan bahawa antara isu antarabangsa dan serantau yang menjadi perhatian bersama termasuk kawalan senjata nuklear dan isu Afghanistan turut dibincangkan.

高蕾