Ketua Eksekutif HK Bentangkan Laporan Pentadbiran 2021

2021-10-06 16:03:40  CRI
Share with:

Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Carrie Lam Cheng Yuet-ngor telah membaca laporan pentadbiran 2021 dalam Dewan Perundangan pagi tadi. Inilah laporan pentadbiran edisi ke-5, dan juga yang terakhir diumumkan beliau sebagai Ketua Eksekutif dalam tempoh perkhidmatan selama 5 tahun.

Carrie Lam menyatakan bahawa beliau dan anggota pasukannya bertungkus-lumus menggubal laporan tersebut, setelah mempengerusikan 40 sesi konsultasi secara hibrid, menghadiri siaran langsung, turun padang ke kampus, dan berkomunikasi dengan lebih 3,500 penduduk Hong Kong dari pelbagai lapisan masyarakat. Beliau menyatakan bahawa melalui pelaksanaan “Undang-undang Keselamatan Negara Melibatkan Hong Kong” dan pengemaskinian sistem pemilihan wilayah pentadbiran khas, Hong Kong sudah kembali ke landasan yang baik untuk mara menuju ke masa depan yang lebih cerah.

Carrie Lam menegaskan, semua penduduk Hong Kong perlu mengenali “Satu Negara Dua Sistem” secara menyeluruh, melindungi keselamatan negara secara taat setia, berasa bangga terhadap kemajuan negara dan identiti sebagai rakyat China supaya Hong Kong dapat terus memainkan peranan tersendiri dalam pembangunan tanah air berdasarkan kelebihan yang istimewa.

Laporan pentadbiran tersebut mengandungi satu bab yang bertajuk “kestabilan dan kelestarian 'Satu Negara Dua Sistem'”, yang melibatkan perincian tentang pelaksanaan konsep 'Satu Negara Dua Sistem', mengekalkan tata tertib perundangan dan pentadbiran Hong Kong, mempertahankan keselamatan negara, mengamalkan sistem pemilihan baharu, mengintensifkan pendidikan mengenai “Perlembagaan” dan “Undang-undang Asas Hong Kong”, serta menghormati bendera, lambang dan lagu kebangsaan.

Sementara itu, Carrie Lam juga menyatakan akan terus mendorong usaha perundangan terhadap Perkara No.23 Undang-undang Asas Hong Kong di samping menilai keberkesanan undang-undang yang sedia ada dalam melindungi keselamatan negara.

张宪