Sistem Beidou Kini ke Arah Perkhidmatan Ruang-Masa Baharu

2021-10-11 15:49:17  CRI
Share with:

Tahun 2021 menjadi saksi kepada pelancaran sistem navigasi satelit global Beidou III dan perkhidmatan aplikasi Beidou yang sepenuhnya menuju ke arah perkhidmatan ruang-masa baharu.

Selaras dengan pengembangan "Beidou +" dan "+ Beidou" yang semakin mendalam, aplikasi baharu, urusan baharu dan model baharu turut sama berkembang maju.

Presiden Persatuan Navigasi dan Penentududukan Satelit China, Yu Xiancheng berkata, Sistem Global Beidou merupakan prasarana maklumat ruang penting kepada China.

Ketika mengulas lanjut sempena Persidangan Aplikasi Beidou China dan Persidangan Tahunan ke-10 Perkhidmatan Navigasi dan Lokasi Satelit China pada Ahad, beliau berkata sistem Beidou memainkan peranan sebagai pendukung asas terhadap pembangunan pertahanan negara, ekonomi, sains dan teknologi. Pada sidang tersebut, beberapa pakar turut bersependapat bahawa ekologi perindustrian perkhidmatan navigasi dan lokasi satelit sedang mengalami perubahan yang ketara.

Menurut mereka, perkhidmatan ruang-masa yang tepat pula secara beransur-ansur menggantikan perkhidmatan lokasi semasa sehingga menjadi haluan utama pembangunan industri ini.

Difahamkan, China berjaya membentuk rantaian pembangunan industri Beidou yang lengkap dan bebas dengan produk berkaitan Beidou telah dieksport ke lebih dari 120 buah negara dan kawasan di dunia, selain memberikan perkhidmatan kepada ratusan juta pengguna.

Sementara itu, "Kertas Putih tentang Perkembangan Industri Perkhidmatan Navigasi dan Lokasi Satelit China 2021" pula menunjukkan bahawa sistem Beidou sedang  berkembang menuju ke fasa baharu melibatkan perkhidmatan ruang-masa bersepadu.

Unjuran menunjukkan bahawa sistem Beidou akan membantu dalam pembentukan pasaran perkhidmatan maklumat ruang-masa berskala RMB800 bilion(RM517.76 bilion) hingga satu trilion(RM 647.2 bilion) menjelang tahun 2025.

Untuk rekod, perkhidmatan sistem Beidou ketika ini melibatkan sektor perhubungan lalu lintas dan pengangkutan, keselamatan umum, pencegahan dan pengurangan bencana, pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan, tadbir urus bandar.

Selain itu, sistem Beidou turut diselaraskan ke dalam prasarana seperti elektrik, kewangan dan komunikasi selain digunakan dalam bidang penggunaan khalayak, ekonomi perkongsian dan kesejahteraan hidup rakyat yang berjaya mengubah gaya hidup orang awam.

Pada akhir tahun 2020, lebih daripada 7 juta kenderaan beroperasi, lebih dari 30,000 kenderaan penghantar dan ekspres, kira-kira 1,400 kapal rasmi, dan sekitar 300 pesawat umum di China telah menggunakan sistem Beidou.

Manakala, hampir 45,000 unit mesin pertanian pemanduan automatik telah dilengkapi dengan sistem Beidou, sekali gus menjimatkan 50 peratus kos buruh.

胡星