“Deklarasi Kunming”Seru Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Makhluk Bumi

2021-10-14 15:25:32  CRI
Share with:

Mesyuarat peringkat tinggi  (fasa pertama) Persidangan ke-15 Pihak-pihak (COP15) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) melabuhkan tirainya di Kunming, provinsi Yunnan China pada Rabu lalu selepas meluluskan "Deklarasi  Kunming" yang menyeru pelbagai pihak bertindak untuk membina bersama-sama komuniti berkongsi nasib sesama makhluk Bumi.

Sebagai hasil utama persidangan kali ini, Deklarasi itu komited untuk memastikan pembangunan, pengambilan dan pelaksanaan "Kerangka Kepelbagaian Biologi Global Pasca 2020” yang berefesien untuk mengubah trend kehilangan biodiversiti pada masa ini dan memastikan usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi dijalankan selewat-lewatnya pada tahun 2030,  sekali gus merealisasikan sepenuhnya wawasan simbiosis antara manusia dengan alam sekitar menjelang 2050.  

Menurut Deklarasi itu, kerajaan pelbagai negara akan memperkasa kerjasama untuk menyerapkan perlindungan dan penggunaan kepelbagaian biologi secara mampan dalam strategi pembangunan, membina mekanisme kawasan perlindungan yang berkesan, menyempurnakan kerangka undang-undang alam sekitar global, menambah modal, teknologi dan sokongan pembangunan keupayaan kepada negara-negara membangun untuk melaksanakan Kerangka Kepelbagaian Biologi Global Pasca 2020.   

Presiden COP15 merangkap Menteri Ekologi dan Alam Sekitar China, Huang Runqiu menyifatkan "Deklarasi Kunming”sebagai perisytiharan politik yang mencerminkan aspirasi politik pelbagai pihak.

"Deklarasi itu memberi isyarat kuat dan positif kepada dunia yang menunjukkan tekad kita untuk menangani masalah kehilangan biodiversiti dan tindakan kita yang lebih berkesan untuk menangani isu-isu yang dibincangkan pada mesyuarat peringkat tinggi kali ini,”katanya.

Difahamkan, Deklarasi itu akan diserahkan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB),  Forum Politik Peringkat Tinggi PBB mengenai Pembangunan Lestari (HLPF) 2022 dan mesyuarat fasa kedua Perhimpunan Alam Sekitar PBB (UNEA) Kelima.

胡星