Xi Sampai Ucaptama pada Sidang Kemuncak G20 ke-16

2021-10-30 22:25:23  CRI
Share with:

Xi Sampai Ucaptama pada Sidang Kemuncak G20 ke-16_fororder_1128013851_16355966293811n (1)

Sebagai forum penting kerjasama antarabangsa, Kumpulan 20 (G20) perlu mengekalkan keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama saling untung, di samping mengamalkan multilateralisme sebenar dan mendorong pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping semasa menyampaikan ucaptama dalam Sidang Kemuncak G20 ke-16 yang berlangsung secara maya hari ini.

Beliau turut menyarankan satu inisiatif mengenai tindakan kerjasama vaksin COVID-19 di peringkat global.

Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan kerjasama penyelidikan vaksin, meningkatkan bekalan serta menggalakkan pemindahan teknologi penghasilan vaksin COVID-19 kepada negara membangun.

Inisiatif itu juga menekankan perlunya menjamin kelancaran perdagangan vaksin dan bahan mentah berkenaan, dan mendorong proses saling mengiktiraf vaksin berdasarkan senarai penggunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada masa sama, sokongan kewangan harus disalurkan kepada kerjasama vaksin global, khususnya bagi membantu negara membangun mendapatkan vaksin.

Berhubung usaha menangani impak pandemik kepada ekonomi dunia, Xi menyarankan supaya penyelarasan dasar ekonomi diintensifkan selain memastikan pelaksanaan dasar secara konsisten, mapan dan berterusan.  

Dalam pada itu, entiti ekonomi utama perlu mengamalkan dasar ekonomi makro yang bertanggungjawab bagi mengelakkan pengaruh negatif kepada negara membangun, di samping menjamin kemantapan sistem ekonomi dan kewangan antarabangsa.

Beliau juga menegaskan komitmen China untuk mengekalkan dasar keterbukaan pintu, mengoptimumkan potensi pasaran domestik yang berskala besar, di samping memperkasakan perlindungan hak harta intelek dan menyediakan order pasaran yang saksama dan adil kepada syarikat domestik dan asing.

Beliau yakin bahawa pembangunan China bakal menyediakan lebih banyak peluang kepada pelbagai negara dan menyuntik momentum baharu kepada ekonomi dunia.

张哲