Pemimpin G20 Gesa Agihan Adil Vaksin COVID-19

2021-10-31 14:01:42  CRI
Share with:

Masyarakat antarabangsa diseru supaya terus memperkasa kolaborasi dalam usaha mengendalikan pandemik COVID-19 dan mengagihkan vaksin secara sama rata, suara lantang peserta Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) ke-16 pada Sabtu.

Perdana Menteri Itali, negara pengerusi bergilir G20, Mario Draghi ketika berucap merasmikan persidangan itu merayu kepada negara terbabit supaya membekalkan vaksin COVID-19 kepada negara-negara paling mundur.

Beliau menyifatkan jurang besar ketidaksamaan pemberian vaksin antara negara maju dan miskin sebagai tidak boleh diterima dari segi moral, sekali gus menjejaskan proses rejuvenasi ekonomi global.

Draghi turut menekankan multilateralisme pendekatan terbaik untuk menangani cabaran sejagat.

Sementara itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengesyorkan supaya G20 menyelesaikan secepat mungkin masalah pengiktirafan bersama vaksin dan sijil vaksinasi.

“Bukan semua negara dapat mengakses kepada vaksin akibat persaingan tidak adil, amalan perlindungan dan kekurangan pengiktirafan bersama terhadap vaksin,” katanya menerusi pautan video.

Putin juga menegaskan pentingnya meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam penjagaan kesihatan serta peranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agihan vaksin secara sama rata sejajar dengan kepentingan setiap negara.

Beliau menggesa G20 supaya menyegerakan bekalan vaksin yang dijanjikan serta menyokong penghasilan vaksin di Afrika.

董筱娉