Ternakan Ayam Organik Sumber Rezeki

2021-11-08 14:02:16  CRI
Share with:

Terletak di kawasan pergunungan di provinsi Hunan di selatan China, kaunti autonomi Chengbu yang berpenduduk etnik Miao kini diletakkan di bawah pimpinan generasi muda. Liu Shujun yang lahir pada 1980-an, ditugaskan Kementerian Perdagangan untuk membawa kaunti Chengbu keluar daripada belenggu kemiskinan sejak awal 2019.

Liu cepat menyesuaikan diri dan mempunyai minda kreatif. Kakinya telah pun dijejakkan sehingga ke serata pelosok kaunti itu dan mengenali penduduk tempatan dengan lebih dekat bagi tempoh tidak sampai dua tahun.

Akhir-akhir ini, terdapat satu perkara yang sentiasa terlintas dalam benak fikirannya, dihantui rasa resah dan gelisah hingga kehilangan selera makan.

Liu mendapati, kaunti itu mempunyai banyak jenis produk istimewa yang berkualiti, namun masih belum diketahui atau pun dipasarkan sehingga kini, akibat kesukaran dari segi kemudahan pengangkutan dan akses jalan raya.

Cabarannya adalah bagaimana dia mencari jalan penyelesaian bagi membantu masyarakat setempat memperoleh pulangan lumayan daripada penjualan hasil pertanian.

Di mata Liu, rezeki dari ternakan ayam organik adalah antara medium yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan.

Di kampung Jintongshan, ramai yang digalakkan kerajaan tempatan untuk mengusahakan penternakan ayam organik berskala besar. Ayam jenis ini begitu aktif bergerak kerana tidak dikurung dalam sangkar reban dan dibebaskan untuk mencari makanan secara semula jadi, menyumbang kepada daging yang lazat dan berkhasiat tinggi.

Liu Shujun memerah otak untuk membantu pengusaha tempatan memasarkan ternakan itu. Selain siapnya sebuah kilang memproses ayam sejuk beku, produk organik tersebut dijanjikan akan dihantar melalui khidmat syarikat kurier dengan kos rendah.

Pendek kata, Liu menyasar untuk menjual daging ayam organik siap disembelih dan diproses di pasaran seluruh negara.

Nampaknya segala butiran pelan itu sudah disusun rapi, kecuali medium untuk mempromosi dan menjual produk.

Pada zaman kini, ramai peniaga telah mula beralih kepada perniagaan secara dalam talian sebagai platform untuk menjenamakan dan memasarkan barangan keluaran mereka. Liu juga mahu mengoptimumkan pendekatan itu untuk menjual produk ayam organik.

Dia merancang mendekati pembeli dengan sesi penjualan secara penstriman langsung yang menampilkan Wei Ya, seorang selebriti sensasi tanah air berpengaruh di platform beli-belah Taobao.

Namun, ideanya ditolak Wei Ya atas alasan produk sejuk beku bukan yang sesuai untuk dipromosikannya.

Liu tercengang-cengang apabila mendengar kata-kata Wei Ya, dan bingung tidak tahu apa yang hendak dibuatnya.

Pelan promosi produk ayam organik dalam talian yang diusahakan Liu selama separuh tahun, mengalami penolakan, yang menyebabkannya berasa bimbang.

Tiba-tiba sebuah idea muncul dalam fikiran Liu, “Kalau ayam mentah diproses tak boleh, macam mana yang masak?”

Cadangan itu turut disahut oleh Wei Ya, dengan peringatan bahawa produk ayam masak keluaran kampung itu perlu menepati piawaian kualiti yang ditetapkan kerajaan.

Mendengar balasan Wei Ya, Liu menarik nafas lega.

Dia masih ingat, terdapat sebuah kilang memproses ayam panggang berhampiran kampung Jintongshan, dan dirinya pernah melakukan tinjauan ke sana.

Dia memikirkan kerjasama dijalin antara kedua-dua kampung untuk mengeluarkan produk ayam masak.

Susulannya penternak ayam organik dan perwakilan kilang memproses ayam panggang dikumpulkan Liu untuk membincangkan program kolaborasi. Kalau dijayakan, dua kampung berkenaan mampu memperoleh keuntungan yang besar.

Lebih-lebih lagi, Wei Ya dan pasukannya juga bersetuju untuk membantu dengan membawa perniagaan mereka ke dalam talian.

Akhirnya, Wei Ya menjejakkan kaki ke kaunti Chengbu.

Kehadiran Wei Ya pada sesi penjualan dalam talian biasanya menarik minat ramai pembeli yang sedang mengikuti penstriman langsung. Kononnya, hasil jualan produk yang dipromosikannya dicatat ratusan juta yuan dalam hanya satu malam semasa penstriman langsung.

Banyak jenis produk tempatan keluaran kaunti Chengbu antaranya produk ayam organik panggang dijual secara penstriman langsung yang dibuat Wei Ya.

Adalah cukup memberangsangkan bahawa sebanyak ribuan ekor ayam panggang habis dijual dalam masa singkat. Selain itu, telur organik juga merupakan antara produk yang mempunyai permintaan tinggi di kalangan pembeli dalam talian.

Prestasi jualan menggalakkan tersebut membuka mata masyarakat setempat mengenali lebih dekat daya tarikan e-dagang.

Selepas mendapat tahu tentang cara promosi secara penstriman langsung, beberapa kampung di kaunti Chengbu mula meniru perbuatan selebriti Wei Ya untuk memperkenalkan hasil pertanian masing-masing dalam talian.

Setakat hujung 2020, kaunti Chengbu meraih jualan hasil pertanian melebihi 100 juta yuan (RM65 juta) menerusi sesi penstriman langsung, yang turut membantu lebih 6,000 keluarga tani menjana pendapatan tambahan.

Liu Shujun pernah berkata, dia akan meninggalkan kaunti Chengbu dan kembali bertugas di Kementerian Perdagangan pada suatu hari nanti. Dia komited untuk membantu masyarakat setempat mengoptimumkan platform e-dagang hingga meraih limpahan manfaat serta mewujudkan pembangunan mampan.

董筱娉