China Komited Perkukuh Kerjasama Pragmatik dengan Lubnan

2021-11-09 14:10:55  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping berkata, China komited terus menghulurkan bantuan kepada Lubnan dalam usaha melawan pandemik COVID-19, membangunkan ekonomi dan memperbaiki kehidupan rakyat negara itu.

Presiden Xi berkata demikian dalam perutusan tahniah kepada rakan sejawatnya dari Lubnan, Michel Aoun sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Lubnan pagi tadi.

Xi menyatakan bahawa hubungan China-Lubnan berkembang dengan mantap hingga menjadi teladan sama rata dan saling menguntungkan antara negara besar dengan kecil.

Xi menambah, beliau mengutamakan hubungan dengan Lubnan dan akan berusaha bersama dengan Presiden Michel Aoun untuk membina kesalingpercayaan politik, memperkasa kerjasama pragmatik demi melonjakkan hubungan China-Lubnan ke tahap yang lebih tinggi.

Michel Aoun pula menyatakan bahawa kedua-dua negara ini menjalankan kerjasama membina dalam sektor politik, ekonomi dan kebudayaan. Pihaknya menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan China kepada Lubnan dalam memelihara kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah negara, selain menjalankan usaha yang adil dan melawan pandemik COVID-19.

Michel Aoun menambah, pihaknya mengutamakan hubungan dengan China, menghargai kejayaan China dalam pembangunan negara, selain komited mempergiat kerjasama dengan China demi memberi limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

覃淼