Perbincangan Xi, Biden Mendalam dan Meluas

2021-11-16 15:33:48  CRI
Share with:

Perbincangan Xi, Biden Mendalam dan Meluas_fororder_1116b

Pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dengan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang berlangsung secara maya pagi tadi, menyaksikan perbincangan secara mendalam mengenai hubungan Beijing-Washington serta isu-isu yang menjadi perhatian bersama.

Xi berkata, selaku dua entiti ekonomi terbesar dunia dan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), China dan AS perlu memperkasakan komunikasi dan kolaborasi, masing-masing mengendalikan hal ehwal dalam negeri sendiri dengan baik, di samping memikul tanggungjawab antarabangsa.

Menurut beliau, adalah perlunya untuk mengembangkan hubungan yang sihat lagi mantap ketika didepani cabaran global antaranya perubahan iklim dan penularan pandemik COVID-19.

Dua negara itu harus saling menghormati, hidup bersama secara damai dan berkolaborasi demi situasi menang-menang.

Xi menyuarakan kesediaannya untuk membina konsensus bersama Biden bagi mendorong hubungan dua hala ke arah positif. Ia merupakan keperluan rakyat, malah juga aspirasi masyarakat antarabangsa.

Pada pandangan Xi, dalam tempoh lima dekad akan datang, China dan AS perlu menemui cara tepat untuk melayan satu sama lain. Ia antara komponen penting dalam perhubungan antarabangsa.

Pada era baharu, adalah amat penting untuk mempertahankan tiga prinsip ketika menguruskan hubungan China-AS, iaitu saling hormat, hidup bersama secara damai serta bekerjasama dan saling untung.

Perbincangan Xi, Biden Mendalam dan Meluas_fororder_1116c

Dua negara tersebut disaran memberi keutamaan kepada empat perspektif, antaranya menggalas tanggungjawab sebagai kuasa besar dan menerajui kerjasama masyarakat antarabangsa untuk menghadapi cabaran utama.

Berasaskan semangat sama rata dan saling untung, pertukaran dalam pelbagai bidang dan di pelbagai peringkat terus dipergiatkan. Pendekatan konstruktif harus diguna pakai ketika mengendalikan perkara sensitif serta percanggahan. Selain itu, koordinasi dan kolaborasi kedua-dua negara perlu dipertingkat apabila berurusan isu hangat.

Ketika memberi penjelasan lanjut berhubung jalan pembangunan dan objektif strategi China, Xi menyatakan, China tiada niat menjajakan jalan sendiri serata dunia, sebalik menggalakkan negara lain supaya menemui jalan pembangunan yang sesuai dengan keadaan sebenar dirinya.

Tegas beliau, pembaharuan dan pintu terbuka merupakan dasar asas China, manakala nilai insani berlandaskan kepada kedamaian, pembangunan, kesamarataan, demokrasi dan kebebasan juga menjadi pegangan negara ini.

Ketika menyebut tentang isu Taiwan, Xi berkata, ketegangan di selat semakin memuncak susulan cubaan pihak berkuasa Taiwan mengejar kemerdekaan dengan bantuan AS serta perbuatan sesetengah pihak di AS sengaja mengekang China dengan mempergunakan Taiwan.

Beijing konsisten dengan pendirian bahawa Taiwan sebahagian wilayah China dan kerajaan Republik Rakyat China adalah satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh negara ini.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan yang diperlukan akan diambil jika puak pemisah berdegil melakukan provokasi atau pun melampaui garis batasan.

Selain itu, Xi juga menekankan bahawa hak asasi tidak boleh dipergunakan menjadi alasan untuk mencampuri urusan dalaman negara lain. Dialog berhubung isu tersebut harus dilakukan berasaskan prinsip saling hormat.

Dalam pada itu, Xi berkata, pada asasnya, hubungan dagangan China-AS diletakkan kepada keadaan menang-menang, dan perbuatan mempolitikkan isu perdagangan harus dielak.

Pada masa sama, Biden membalas dengan menyifatkan hubungan Washington-Beijing sebagai amat penting.

Beliau berjanji tidak akan mengubah sistem China atau menentang China menerusi pengukuhan ikatan sekutu, serta tiada niat untuk berkonflik dengan China.

Biden mengulangi lagi kerajaannya kekal dengan dasar satu China dan tidak menyokong cubaan "kemerdekaan Taiwan".

Beliau menyatakan kesediaannya untuk meningkatkan komunikasi dengan China demi mengurangkan salah faham, di samping menangani perselisihan menerusi pendekatan konstruktif.

Menurut beliau, kerjasama dalam bidang-bidang yang sejajar dengan kepentingan bersama akan diperkasakan, manakala sinergi dibentuk untuk mengendalikan cabaran global, seperti perubahan iklim dan penularan pandemik.

Kedua-dua pemimpin itu juga bertukar-tukar pendapat mengenai isu Afghanistan, nuklear Iran dan situasi Semenanjung Korea.

董筱娉