Stadium Ibu Negara Terap Teknologi Hijau

2021-11-29 15:05:27  CRI
Share with:

Stadium Ibu Negara yang dibina sekitar 1960-an, telah menjadi saksi kepada sejarah "diplomasi pingpong" China-Amerika Syarikat serta tuan rumah acara bola tampar Sukan Olimpik Musim Panas Beijing 2008.

Pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 kelak, ia akan menjadi tempat pertandingan luncur laju trek pendek dan luncur ais berbunga.

Sebaik sahaja melangkah ke dalam stadium, pengunjung dapat melihat sebuah skrin tayangan gergasi seluas 1,332 meter persegi di bahagian atasnya.

Semasa pertandingan pula, projektor laser akan memancarkan cahaya dan paparan indah pada skrin itu dari empat penjuru, sehingga menjadikan seluruh stadium persis dunia ais dan salji fantasi.

Difahamkan, ketebalan ais untuk acara luncur ais berbunga adalah 6 hingga 7 sentimeter, dengan suhu antara 3 hingga 4 darjah Celsius di bawah sifar.

Bagi acara luncur laju trek pendek, ketebalan ais adalah 3 hingga 5 sentimeter, dan suhunya ditetapkan antara 6 hingga 7 darjah Celsius di bawah sifar.

Lantai ais bersaiz 31mx61m itu mampu disiapkan dalam masa dua jam sahaja mengikut keperluan acara pertandingan,  dengan menggunakan teknologi pembuatan ais karbon dioksida yang paling canggih di dunia.

Selain itu, kecekapan dan penjimatan tenaga juga diambil kira dalam proses pembuatan ais.

Untuk rekod, Stadium Ibu Negara mengitar semula haba yang dihasilkan semasa pembuatan ais, sekali gus berjaya menjimatkan lebih 1 juta kilowatt-jam elektrik setiap tahun.

梁靓