Ekonomi Digital, Peluang Baharu Kerjasama China-Afrika

2021-12-02 16:42:10  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping menyarankan China dan Afrika meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi digital, ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan Persidangan Menteri-menteri kelapan Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) Isnin lalu.

Menurut beliau, saranan itu adalah agar kedua-dua pihak dapat menghadapi pembangunan ekonomi digital dunia, mendorong proses pendigitalan Afrika dan memperkukuh kerjasama dua hala.

Bagi negara-negara Afrika ketika ini, ekonomi digital disifatkan sebagai kunci untuk memulihkan ekonomi, mewujudkan pembangunan inovatif dan menambah baik kesejahteraan rakyat.

Untuk rekod, Laporan Ekonomi Digital Afrika 2020 keluaran bersama Google dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) di bawah Bank Dunia mengunjurkan nilai pasaran ekonomi digital benua itu mencecah USD180 bilion (RM760 bilion) menjelang 2025, sekali gus menyumbang 5.2 peratus dalam KDNK Afrika.

Di bawah sokongan infrastruktur digital China pada tahun-tahun kebelakangan ini, pembinaan internet Afrika menyaksikan kemajuan signifikan.

Selain rangkaian komersial bebas 5G pertama Afrika dan Pusat Digital Nasional Senegal yang sudah siap, China akan membantu Afrika melancarkan sepuluh lagi projek ekonomi digital dalam tiga tahun seterusnya.

Ia termasuk Pusat Kerjasama Aplikasi Penderiaan Jauh Satelit China-Afrika, makmal bersama China-Afrika, institut penyelidikan rakan kongsi serta pangkalan kerjasama inovasi teknologi. 

Di samping itu, sokongan sektor e-dagang dan teknologi kewangan oleh syarikat China juga memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi negara-negara Afrika.

Semasa Festival E-dagang Produk Afrika pertama yang diadakan di bandar Changsha, China pada September, sebanyak 55 sesi penstriman langsung telah dianjurkan, menarik 23.27 juta penonton dan merekodkan transaksi sebanyak RMB25.68 juta (RM17.02 juta) dalam tempoh tiga hari.

Turut difahamkan, sejumlah 4,200 sesi penstriman langsung telah dijalankan di Pusat Inkubator E-dagang Penstriman China-Afrika di Changsha dengan jumlah jualan mencecah RMB550 juta (RM331 juta).

梁靓