China, Jepun Perlu Perkasa Kerjasama Pasca Pandemik

2021-12-22 14:28:08  CRI
Share with:

China dan Jepun perlu memperkasa kerjasama dan pertukaran dalam era pasca pandemik COVID-19 bagi menyuntik momentum baharu kepada perkembangan hubungan bilateral.

Konsensus itu dicapai dalam dialog usahawan dan mantan pegawai kanan China-Jepun pusingan ketujuh yang berlangsung secara maya, pada Selasa.

Menurut Pengerusi Pusat Pertukaran Ekonomi Antarabangsa China (CCIEE), Zeng Peiyan, hubungan ekonomi dan perdagangan China-Jepun terus dipertingkat walaupun dilanda pandamik COVID-19, sekali gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi dunia.

Ketika menyampaikan ucapannya semasa dialog itu, beliau berkata bahawa China dan Jepun saling melengkapi serta mempunyai kepentingan bersama dalam bidang ekonomi.

"Kerjasama dua hala mempunyai potensi yang amat besar dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pembuatan canggih, ekonomi digital, usaha mesra alam, kesihatan dan penerokaan pasaran pihak ketiga.

"Mengambil peluang sempena sambutan jubli emas pemulihan hubungan China-Jepun pada tahun depan, kedua-dua pihak perlu bertindak sehaluan, berpegang pada prinsip empat dokumen politik penting bagi menghapuskan unsur negatif dan memperluas lagi kerjasama," kata Zeng.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pula menyatakan, landskap kerjasama saling untung antara kedua-dua negara tidak berubah, dan usaha bersama perlu dilakukan bagi menangani pelbagai cabaran, termasuk perubahan iklim.

Beliau turut berkata perubahan iklim antara agenda utama masyarakat antarabangsa, akan membawa banyak peluang baharu kepada perbelanjaan dan pasaran.

"Kedua-dua pihak diharap memacu kerjasama dalam sektor ekonomi, di samping mengadakan perbincangan tentang bagaimana menyumbang kepada usaha masyarakat antarabangsa menangani perubahan iklim," ujar Kishida lanjut.

Menurut statistik, jumlah perdagangan antara China dan Jepun merekodkan USD339.8 bilion dalam tempoh Januari hingga November, meningkat 18.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

 

张哲