ASEAN, China Disaran Pacu Kerjasama dalam Empat Bidang Utama

2021-12-24 16:01:37  CRI
Share with:

Prospek hubungan ASEAN-China akan menjadi lebih cerah pada tahun hadapan apabila kedua-duanya memperkasakan lagi kerjasama dalam bidang yang lebih luas, kata penasihat kanan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Dr. Ei Sun Oh.

Ketika mengulas mengenai landskap dunia serta kerjasama ASEAN-China pada 2022 dalam artikelnya, beliau berpendapat bahawa walaupun penularan pandemik COVID-19 membawa impak besar kepada ekonomi dan kesihatan awam global, namun ia turut mewujudkan lebih banyak peluang.

Menurut beliau, terdapat potensi besar dalam kerjasama ASEAN-China melibatkan empat aspek utama iaitu pendidikan, pelancongan, keusahawanan dan pembangunan mampan.  

Menyentuh mengenai bidang pendidikan, Dr. Oh berharap institusi pengajian tinggi (IPT) kedua-dua pihak akan saling membuka cawangan bagi merancakkan lagi kerjasama pendidikan serta interaksi dalam kalangan pelajar.

“Ramai pelajar di Asia Tenggara berharap mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di IPT China. Manakala, pelajar China juga dialu-alukan datang belajar di negara Asia Tenggara. Sebagai contoh, Universiti Xiamen kini mempunyai kampus yang fasilitinya cukup sempurna di Malaysia,” kata beliau.

Bagi kerjasama pelancongan yang turut terkena tempias akibat pandemik pula, beliau menyarankan supaya kedua-dua pihak bersedia dalam pembukaan semula aktiviti rentas sempadan kelak, termasuk perkhidmatan penerbangan terus antara bandar utama dan pelayaran antara pelabuhan utama serantau.

Mengenai trend keusahawanan pada tahun-tahun kebelakangan ini, beliau melihat makin ramai belia serantau mempunyai kecenderungan untuk menceburi industri kreatif.

“Jika berpeluang berkongsi idea dan bekerjasama, maka bakat dan kebolehan mereka akan terus dicungkil dan dioptimumkan.

"Justeru, adalah perlu untuk menyediakan lebih banyak platform interaksi sama ada secara fizikal, mahupun secara dalam talian bagi merancakkan perkongsian dalam usaha inovasi dan keusahawanan," tambah Dr. Oh lagi.

Selain itu, beliau menganggap pembangunan hijau perlu dijadikan asas kepada kerjasama serantau serta pertukaran dalam kalangan rakyat bagi memastikan pembangunan mampan dapat direalisasikan.

“Kerjasama dalam perlindungan alam sekitar perlu dipergiat bagi menangani perubahan iklim global. Pada masa sama, pembangunan yang konsisten hendaklah terus dipacu demi kebaikan dan kemakmuran bersama,” ujarnya.  

张哲