Kenapa RCEP Dinantikan Semua?

2022-01-01 15:00:21  CRI
Share with:

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mula berkuat kuasa secara rasmi pada hari ini, menandakan beroperasinya kawasan perdagangan bebas meliputi populasi paling ramai, skala perdagangan terbesar serta paling berpotensi di dunia.

Dengan populasi sebanyak 2.2 bilion orang, kawasan perdagangan bebas itu turut mewakili 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di seluruh dunia.

RCEP dikuatkuasakan oleh 10 buah negara terlebih dahulu, iaitu enam negara ASEAN serta China, Jepun, New Zealand dan Australia. Selain itu, Republik Korea akan menguatkuasakan perjanjian itu pada 1 Februari.

RCEP memberikan status bebas tarif kepada lebih 90 peratus barangan yang diperdagangkan antara negara serantau.

Berdasarkan prinsip saling untung, RCEP turut merangkumi peraturan tentang perdagangan perkhidmatan, pelaburan, hak harta intelek dan e-dagang dengan piawaian yang bertaraf tinggi di dunia. Justeru, ia disifatkan sebagai pemacu kepada pemulihan ekonomi serantau oleh media negara ASEAN.

Penguatkuasaan RCEP oleh China juga dianggap peristiwa penting dalam usaha keterbukaan pintu di negara ini, sekali gus menjadi jambatan yang menghubungkan kitaran pasaran domestik dengan antarabangsa.

Perkara yang lebih penting adalah RCEP mencerminkan sokongan padu masyarakat antarabangsa kepada keterbukaan dan perdagangan bebas, dan penguatkuasaannya boleh dilihat sebagai satu kemenangan penting dalam melawan amalan perlindungan.

RCEP juga membantu China meneroka potensi pasarannya yang berskala besar, selain menggalakkan pertukaran ekonomi dan perdagangan dengan rakan serantau. Usaha itu sudah tentu akan menyediakan lebih banyak peluang kepada syarikat serantau, di samping membawa manfaat sebenar kepada pengguna.