RCEP Mula Berkuat Kuasa Hari ini

2022-01-01 15:29:51  CRI
Share with:

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mula berkuat kuasa secara rasmi hari ini, menandakan beroperasinya kawasan perdagangan bebas meliputi populasi paling ramai, skala perdagangan terbesar serta paling berpotensi di dunia.

Tokoh-tokoh ekonomi yakin pelaksanaan perjanjian itu akan meningkatkan pengaliran lebih banyak produk berkualiti secara bebas dan cekap sehingga memanfaatkan para pengguna.

Pengarah Pejabat Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) di Beijing, Takashima Ryusuke menyatakan, sebanyak 86 peratus produk yang dieksport Jepun ke China dapat menikmati tarif sifar melalui RCEP.  Dengan penurunan kos import, hubungan antara industri pemerolehan alat ganti kedua-dua negara akan bertambah rapat.

Pengamal media veteran Malaysia, Chong Tien Siong berpendapat RCEP menjanjikan peluang perniagaan yang tidak terhingga buat syarikat serantau. 

Menurutnya, dengan aktiviti perdagangan yang lebih bebas, ia akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjimatkan kos dan masa, serta menikmati ketelusan dan kepastian lebih tinggi.

Pengarah Pusat Penyelidikan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 Kemboja, Neak Chandarith pula berkata, adalah peluang penting bagi perusahaan swasta dan kaum tani Kemboja untuk menembusi pasaran China, yang merupakan antara pengimport produk pertanian terbesar dunia.

Ini akan membantu Kemboja mengatasi kesukaran disebabkan penularan wabak COVID-19 dan mendorong pembangunan sosioekonomi domestik.

RCEP ditandatangani 10 negara ASEAN bersama China, Jepun, Republik Korea, Australia dan New Zealand.

Sebagai perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia yang melibatkan populasi sejumlah 2.27 bilion, RCEP turut mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak USD26.2 trilion dan nilai eksport sebanyak USD5.2 trilion yang masing-masing mewakili 30 peratus seluruh dunia.