China Berpendirian Menentang Perang Nuklear

2022-01-04 15:22:08  CRI
Share with:

 China sentiasa aktif menggalakkan konsep "tiada pihak yang akan menang dalam perang nuklear", ujar Naib Menteri Luarnya, Ma Zhaoxu pada Isnin.

Ia merupakan susulan daripada kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh China, Rusia, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis pada hari sama berhubung pencegahan perang nuklear dan perlumbaan senjata.

Memetik kenyataan bersama tersebut, China berpendirian untuk sentiasa menentang perang nuklear selain konsisten mempromosi objektif yang terkandung di dalam pengumuman tersebut termasuk tidak menyasarkan satu sama lain mahupun negara ketiga dengan senjata nuklear.

Untuk rekod, ia juga adalah buat julung-julung kalinya pemimpin lima negara nuklear mengeluarkan kenyataan bersama, sekali gus menunjukkan aspirasi politik secara muafakat untuk mengelakkan perang nuklear, memelihara kestabilan strategik global dan mengurangkan risiko konfrontasi nuklear.

“Kelima-lima negara sebagai negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) bertanggungjawab untuk mengelakkan perang nuklear dan memelihara kedamaian dunia,” kata Ma lagi.

Tegasnya, China sentiasa berpegang kepada strategi nuklear yang defensif dan mengamalkan dasar “tidak menggunakan senjata nuklear terlebih dahulu”, mengurangkan kekuatan nuklear ke tahap paling rendah bagi keperluan pertahanan negara.

Selain itu, Ma berkata bahawa China juga akan terus menyumbang pandangan dan pelan kepada tabir urus global dalam bidang nuklear, serta bersedia mengadakan kerjasama dengan semua negara demi keamanan sejagat.