Xi: Persiapan Sukan Olimpik Bejing 2022 Kini Dalam Pecutan Terakhir

2022-01-05 14:56:23  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menyifatkan kerja-kerja persiapan sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 kini berada dalam fasa "pecutan terakhir".

Beliau berkata demikian pada Selasa ketika melakukan tinjauan di beberapa venue temasya tersebut termasuk Gelanggang Luncur Laju Kebangsaan, pusat media utama, Perkampungan Olimpik, pusat operasi serta Pangkalan Latihan Projek Ais dan Salji Erqichang.

Pada kesempatan tersebut, Xi turut beramah mesra dengan atlet, jurulatih, pekerja, ahli perkhidmatan, penyelidik, wartawan dan sukarelawan serta mengucapkan selamat tahun baharu kepada mereka.

Difahamkan, kini kesemua 12  venue pertandingan telah siap dibina dan memenuhi syarat pertandingan, manakala venue bukan pertandingan seperti tiga Perkampungan Olimpik dan pusat media utama telah beroperasi.

Terdahulu pada 5 Oktober hingga penghujung Disember 2021, lapan gelanggang menjadi tuan rumah kepada 10 acara antarabangsa secara berturut-turut,  selain menjadi tempat latihan antarabangsa selama tiga minggu dan venue kepada dua acara ujian domestik.

Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di China, Siddharth Chatterjee menyatakan, tatkala impak pandemik COVID-19 masih berlarutan, namun Sukan Olimpik Musim Sejuk dilihat memberikan sinar kepada harapan dan perpaduan.