Persekitaran Tanpa Halangan, Agenda Besar Paralimpik 2022

2022-01-10 15:51:58  CRI
Share with:

Persiapan bagi Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2022 Beijing kini giat dijalankan demi memastikannya setaraf Sukan Olimpik, serta menambah baik persekitaran agar lebih mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengarah bagi Sukan Paralimpik Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk 2022 (BOCOG), Yang Jinkui berkata, pihaknya sedang menjalankan ujian terhadap kemudahan serta perkhidmatan di perkampungan Olimpik agar para peserta dan pegawai pengiring menikmati perkhidmatan berkualiti tinggi.  

Jelasnya, temasya itu dilihat berjaya menggalakkan pembangunan sukan OKU musim sejuk apabila jumlah atlet Sukan Paralimpik di China meningkat daripada sekitar 50 penyertaan kepada 974 penyertaan.  

Tambah beliau, selain mempunyai pegawai teknikal seramai 135 orang, acara temasya sukan itu juga telah bertambah daripada dua acara utama kepada enam acara utama.  

"Persekitaran tanpa halangan adalah syarat penting bagi memastikan golongan seperti OKU dan warga emas dapat menikmati kehidupan sosial secara saksama.  

"Maka, dengan berteraskan konsep 'kesaksamaan, maruah dan kesesuaian', kami (pihak penganjur) menyasarkan untuk terus menaik taraf persekitaran tersebut," kata Yang.  

Difahamkan, sebanyak 30 lokasi akan digunakan bagi temasya tersebut termasuk lima gelanggang pertandingan dan 25 bukan pertandingan.  

Kesemua lima lokasi pertandingan sudah siap dibina dan mendapat kelulusan untuk beroperasi.