Eksport Automobil China Catat Rekod Baharu

2022-01-14 15:12:54  CRI
Share with:

Sektor automobil China menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah eksport melepasi dua juta unit pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Industri Kelengkapan Pertama Kementerian Perindustrian dan Maklumat (MIIT) China, Wang Weiming berkata, prestasi itu menyaksikan lonjakan daripada paras satu juta yang direkod dalam tempoh sepuluh tahun lalu.

“Jumlah eksport kereta negara menokok sekali ganda kepada 2.01 juta pada 2021, mencatat rekod baharu,” maklum Wang kepada media, di sini, Rabu.

Antaranya, jumlah kereta tenaga alternatif yang dieksport sebanyak 310,000, meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya. 

“Jualan kereta jenis itu melebihi 3.5 juta pada 2021, naik 1.6 kali ganda. Angka itu menduduki tempat pertama di dunia bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut," katanya.

Data MIIT turut menunjukkan, jumlah pengeluaran dan jualan automobil China masing-masing mencatat 26.08 juta dan 26.27 juta pada 2021, meningkat 3.4 peratus dan 3.8 peratus berbanding 2020.

Menurut Wang, prestasi itu telah mengakhiri trend penurunan dalam tiga tahun berturut-turut.

Sementara itu, presiden bergilir Persatuan Pengeluar Automobil China (CAAM), Zhu Huarong berkata, terdapat beberapa usaha yang perlu dijadikan tumpuan bagi meningkatkan reputasi jenama kereta China pada masa akan datang.

“Industri automobil menyaksikan trend baharu yang menjurus kepada teknologi pintar, tenaga alternatif, rendah karbon dan perkhidmatan perjalanan. Peluang daripada transformasi tersebut perlu dimanfaatkan.

“Kehadiran teknologi baharu memberi peluang kepada jenama China untuk meneroka pasaran lebih luas. Kita perlu menyasar pasaran global sebagai medan baharu,” ujarnya.