Olimpik 2022 di Beijing: Cai Qi, Thomas Bach Adakan Pertemuan

2022-01-17 15:00:27  CRI
Share with:

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, Cai Qi menzahirkan ucapan penghargaan kepada rakannya dari Jawatankuasa Sukan Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach atas sokongan yang diberikan terhadap temasya akan datang ini.



Ketika mengadakan pertemuan secara dalam talian baru-baru ini, Cai yang juga anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China memaklumkan tentang tinjauan yang dilakukan Presiden Xi Jinping terhadap persiapan temasya tersebut.


Menurut beliau, tinjauan itu juga merupakan simbol kepada keazaman dan keyakinan China selaku tuan rumah untuk menjadikan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing sebagai temasya yang berjaya.

Jelas Cai, pelbagai kerja persiapan berjaya disempurnakan, manakala “Laporan Pembangunan Berterusan Menjelang Perasmian Sukan” pula telah diumumkan.

"Sistem pengurusan secara tertutup termasuk penginapan, makan minum dan pengangkutan telah dilancarkan.

"Kami akan sedaya upaya memberikan perkhidmatan yang memudahkan, pantas, tepat dan terperinci kepada para atlet," tambah beliau.

Menyetuh mengenai penularan wabak varian Omicron di seluruh dunia, Cai berharap IOC akan terus bersama-sama memberikan kesedaran tentang risikonya, dan menuruti segala peraturan seperti yang termaktub dalam buku panduan pencegahan wabak.

Sementara itu, Bach yang menyanjung tinggi terhadap usaha China turut menyambut baik saranan dianjurkan China tatkala menghadapi tekanan besar penularan wabak COVID-19.

"IOC akan terus memberi kesedaran kepada semua yang terlibat untuk mematuhi peraturan pencegahan wabak, bekerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, sekali gus menjayakan temasya sukan kali ini dan menghidupkan semangat Olimpik," ujarnya.