Xi Sampai Ucaptama Sempena Sidang Tahunan WEF

2022-01-17 22:10:08  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping menyeru supaya dunia melakukan yang diperlukan untuk menangkis segala halangan dan rintangan akibat penularan pandemik COVID-19 serta berusaha merangsang pemulihan sosioekonomi, hingga sinar harapan menerangi masa depan umat manusia.

 

“Jawapan mesti diberikan kepada persoalan utama yang mendesak mengenai cara mengatasi pandemik COVID-19 serta cara membina dunia pasca pandemik. Ia merupakan isu utama yang menjadi kebimbangan rakyat serata dunia,” kata Xi dalam ucaptama sempena sesi tahunan Davos Forum Ekonomi Dunia (WEF) menerusi pautan video di Beijing, malam ini.

 

Dunia ketika ini sedang mengalami perubahan besar yang tidak dapat dilihat dalam tempoh seabad, katanya sambil menambah perubahan ini tidak terhad kepada suatu detik, peristiwa, negara atau wilayah tertentu, sebaliknya perubahan sezaman yang mendalam dan menyeluruh.

 

Menurut beliau, perlunya solidariti dan kolaborasi masyarakat antarabangsa untuk memerangi wabak. Seperti yang dinyatakannya, di tengah-tengah krisis global, bot kecil tidak dapat bertahan dalam ribut kencang, hanyalah kapal gergasi baru cukup kuat untuk menghadapi ombak besar.

 

Xi berpendapat, semua negara perlu memperkasa kerjasama dalam melawan wabak, melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ubat-ubatan, memperkukuh benteng mengawal dan mencegah penularan wabak serta menggerakkan usaha membina komuniti kesihatan sesama insan.

 

Beliau turut menggesa supaya langkah-langkah diambil untuk mengatasi pelbagai risiko dan memantapkan rejuvenasi ekonomi global. Untuk itu, amalan multilateralisme yang sebenar perlu menjadi pegangan semua negara.

 

“Kita harus menghapuskan halangan, bukan mendirikan tembok. Kita patut kekal terbuka, bukan tutup pintu. Kita harus mewujudkan integrasi, bukan melakukan pencantasan. Inilah cara untuk membina ekonomi dunia yang terbuka,” ujar Xi.

 

Pada pandangan beliau, globalisasi ekonomi harus bergerak ke arah lebih terbuka, inklusif, memanfaatkan semua, seimbang dan saling untung.

 

Menyebut tentang jurang pembangunan, Xi menyarankan supaya konsep pembangunan berpaksikan rakyat menjadi keutamaan dalam menghadapi apa jua kesulitan.

 

Usaha menggerakkan pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat terjamin harus dititikberatkan dalam dasar makro global. Dengan mengoptimumkan mekanisme usaha sama yang sedia ada, negara terbabit perlu menyumbang kepada pembangunan seimbang di peringkat global.

 

Xi turut menekankan peri pentingnya mengetepikan mentaliti Perang Dingin dan hidup bersama secara damai demi keuntungan bersama.

 

Menurut beliau, negara dan tamadun yang berbeza boleh makmur bersama berdasarkan rasa hormat antara satu sama lain, dan mencari titik persamaan dan menang-menang dengan mengetepikan perbezaan.

 

Xi menyeru agar negara terbabit mengikuti aliran sejarah, memelihara orde antarabangsa, menyemarakkan nilai sepunya manusia, dan berusaha ke arah komuniti berkongsi nasib sesama insan.

 

“Kita harus memilih dialog berbanding konfrontasi, keterangkuman berbanding pengecualian, dan menentang semua bentuk unilateralisme, perlindungan, hegemoni atau politik kuasa," kata Xi.

 

Dalam pada itu, Presiden Xi menyuarakan keyakinan terhadap masa depan ekonomi China.

 

Prestasi ekonomi China kekal utuh secara keseluruhan, kata Xi, memetik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menokok sekitar 8 peratus pada 2021, mencapai dua sasaran iaitu pertumbuhan yang agak tinggi dan inflasi yang agak rendah.

 

Beliau turut mengulangi komitmen China untuk memajukan pembangunan berkualiti tinggi, memantapkan pembaharuan dan pintu terbuka serta membina tamadun ekologi.