Dunia Yakin Olimpik Beijing Lancar dan Berjaya

2022-01-20 11:45:57  CRI
Share with:


Sejak beberapa minggu ini semakin kuat kedengaran suara masyarakat antarabangsa yang begitu yakin Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 dapat berjalan dengan lancar dan jayanya.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian semasa taklimat harian pada Rabu, sebagai respons terhadap sokongan padu diberi dunia kepada Beijing.

Zhao berkata, temasya berkenaan ketika ini berada di fasa pecut, ramai pemimpin asing dan atlet serta pertubuhan antarabangsa menyuarakan sokongan penuh terhadap Olimpik musim sejuk itu.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) buat julung kalinya mengeluarkan setem sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk, satu perkhabaran baik buat pengumpul dan peminat setem,” kata Zhao.

Beliau turut memetik Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach, menyifatkan gelung tertutup sepanjang temasya Beijing sebagai tempat paling selamat di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.

“Di mata Bach, sistem gelung tertutup dikendalikan secara selamat dan cekap, dengan perkhidmatan yang menyenangkan dan terjamin,” petik Zhao.

Jurucakap itu turut memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai berkata, protokol wabak yang sedia ada untuk temasya Beijing cukup cekap untuk menangani cabaran akibat COVID-19.

“Oleh sebab kami (Beijing) melaksanakan langkah tegas dalam pencegahan penularan wabak, WHO mempunyai keyakinan penuh kepada kami yang mampu menguruskan Olimpik secara selamat,” katanya.