ODI China 2021 Melonjak 9.2 Peratus

2022-01-21 14:18:46  CRI
Share with:

Pelaburan Langsung Luar Negara (ODI) China pada 2021 direkodkan sebanyak USD145.19 bilion (RM608.63 bilion), iaitu meningkat 9.2 peratus berbanding tahun terdahulu dengan pelaburan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menyaksikan pertumbuhan pesat.

Demikian nyata Jurucakap Kementerian Perdagangan China, Shu Jueting dalam satu pengumuman pada Khamis.

Menurut beliau, statistik pulangan kontrak luar negara (Foreign Contracted Project) untuk tempoh yang sama turut mencecah USD154.94 bilion (RM649.51 bilion), iaitu menurun 0.6 peratus berbanding 2020.

Manakala, kontrak yang baharu ditandatangani merekodkan USD258.49 bilion (RM1.08 trilion), atau menokok sebanyak 1.2 peratus.

Pada masa sama, Shu menyifatkan pelaburan China di negara BRI menunjukkan pertambahan berterusan apabila ODI bukan kewangan ke negara BRI dicatatkan sebanyak USD20.3 bilion (RM85.1 bilion), iaitu meningkat 14.1 peratus, sekali gus memberi sumbang signifikan kepada pembangunan setempat.

"Kontrak baharu luar negara untuk 2021 pula menyaksikan pertambahan ketara, dengan jumlah catatan perjanjian sebanyak 560 buah yang bernilai lebih USD100 juta (RM419 juta), iaitu menambah 46 buah berbanding tahun sebelumnya.

"Kebanyakan kontrak yang baharu ditandatangani itu merupakan dalam bidang infrastruktur pengangkutan," kata beliau.

Sementara itu, Naib Pengarah Jawatankuasa Akademik Kementerian Perdagangan China, Zhang Jianping berpendapat, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang mula berkuatkuasa pada tahun ini akan menggalakkan pertumbuhan pelaburan ke negara BRI.

"Kebanyakan negara penandatangan RCEP adalah rakan kerjasama BRI, maka pelaksanaan RCEP berperanan penting bagi mendorong pembangunan berkualiti tinggi BRI," katanya.