Pentingnya Dasar Makro Dilaksana Secara Inovatif: PM Li

2022-01-22 15:08:50  CRI
Share with:

Adalah pentingnya melaksanakan dasar makro secara inovatif dan memantapkan lagi pembaharuan dan pintu terbuka, tegas Perdana Menteri Li Keqiang.

Li, juga ahli Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), membuat kenyataan itu ketika bersimposium dengan pakar, sarjana dan usahawan pada Khamis.

Difahamkan, simposium itu diadakan untuk mengumpul idea dan cadangan wakil berkenaan mengenai draf laporan kerja kerajaan yang bakal dibahaskan pada sesi tahunan badan perundangan tertinggi pada bulan Mac.

Li berkata, ekonomi China menyaksikan pemulihan lebih kukuh pada tahun lepas, sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan.

Untuk kemantapan ekonomi, beliau menegaskan peri pentingnya meningkatkan permintaan sambil bersiap siaga menghadapi risiko, demi memastikan ekonomi domestik beroperasi dalam julat yang munasabah.

Menurut beliau, kesinambungan dan kestabilan dasar makro perlu dikekalkan, manakala kawalan berkenaan harus dikendalikan secara bersasar.

“Usaha harus dibuat untuk memastikan dasar monetari dioptimumkan dan mengekalkan kecairannya yang munasabah dan mencukupi,” kata Li.

Beliau menggesa supaya langkah-langkah komprehensif diambil untuk mengurangkan kos pembiayaan bagi perusahaan, terutamanya firma sederhana, kecil dan mikro, di samping mengukuhkan sokongan kepada ekonomi sebenar.

PM itu turut menyatakan, pekerjaan harus menjadi keutamaan, dengan menggalakkan pekerjaan berorientasikan pasaran dan sosial.