China Hulurkan Bantuan Kecemasan Kumpulan Ketiga ke Tonga

2022-01-25 13:45:23  CRI
Share with:

China mengikut rapat keadaan bencana yang melanda Tonga dan memutuskan untuk menghulurkan bantuan kecemasan kumpulan ketiga kepada negara itu.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dalam satu sidang media di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, China sentiasa memperhatikan situasi bencana di Tonga dan berusaha sedaya upaya menghulurkan bantuan kepada negara itu melalui pelbagai saluran.

Jelas Zhao, antara bantuan untuk kumpulan kali ini adalah bekalan bantuan kecemasan bernilai RMB20 juta(RM13.22 juta), bantuan berbentuk tunai dan bahan keperluan bernilai RMB 1 juta(RM661.4 ribu) melalui Kedutaan Besar China di Fiji yang merangkumi air minuman, makanan kecemasan, generator, pam air serta gergaji rantai.

Tambah beliau, China akan terus memberikan bantuan yang diperlukan kepada Tonga dalam proses pencegahan dan pembinaan semula pasca bencana.

Terdahulu, Tonga turut menerima bantuan tunai kemanusiaan kecemasan sebanyak AS$100,000(RM418,700) yang disediakan oleh Palang Merah China.