Putin Yakin Beijing Dapat Anjur Sukan Olimpik Bertaraf Tinggi

2022-02-03 13:45:58  CRI
Share with:

Presiden Rusia, Vladimir Putin berkeyakinan Beijing akan menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 yang bertaraf tinggi.

Menurut beliau, China dilihat bersiap sedia untuk temasya itu dengan membina pelbagai kemudahan sukan, infrastuktur pengangkutan dan stadium sukan yang moden, sekali gus memberikan suasana kondusif kepada atlet, jurulatih dan wartawan asing.

Putin berkata demikian dalam temu ramah secara bertulis dengan Presiden Kumpulan Media China (CMG), Shen Haixiong menjelang pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

"Saya mengenali Presiden Xi sejak sekian lama dan sebagai rakan baik serta ahli politik yang mempunyai banyak pandangan sama, kami sentiasa mengekalkan komunikasi secara rapat.

"Saya segera menerima jemputan Xi untuk menghadiri Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing kerana ingin berkongsi kegembiraan dengan sahabat China dalam pengajuran temasya sukan terpenting ini,” kata Putin.

Tambah beliau, 2022-2023 yang diumumkan bersama beliau dengan Presiden Xi sebagai "tahun kerjasama antara Rusia dengan China dalam bidang sukan dan pendidikan fizikal" akan menjadi acara penting kepada kedua-dua negara.

Menurut Putin, program kerjasama yang diumumkan pada Disember 2021 itu akan merangkumi sekitar 500 aktiviti  berhubung sukan dalam kalangan orang ramai dan remaja, pendidikan, sains sukan dan melahirkan insan holistik.