Pasaran Perbelanjaan Domestik China Pamer Kedinamikan Sempena TBC

2022-02-08 14:46:10  CRI
Share with:

Pasaran perbelanjaan domestik China sepanjang cuti Tahun Baharu Cina (TBC) disifatkan sebagai dinamik dan turut menyaksikan peningkatan.

Menurut statistik Jabatan Pentadbiran Percukaian Negara (STA), jumlah perbelanjaan barangan menokok 20.1 peratus berbanding tempoh TBC pada tahun lepas.

Untuk tempoh sama, jualan runcit dalam talian meningkat 37.7 peratus, didorong kempen beli-belah oleh pengendali e-dagang utama tempatan.

Sejajar dengan penaiktarafan perbelanjaan, jualan produk pintar seperti robot penyapu dan mesin pengering turut menokok 48.5 peratus.

Dalam bidang pelancongan dan hiburan pula, percutian di pinggir bandar menjadi popular sejurus selepas saranan dibuat kepada rakyat untuk tidak keluar dari kawasan masing-masing sepanjang tempoh TBC.

Sehubungan dengan itu, perbelanjaan inap desa menyaksikan peningkatan hampir 40 peratus.

Sektor kebudayaan juga menarik ramai individu untuk berbelanja apabila pendapatan yang diperoleh sektor muzium dan persembahan kesenian masing-masing meningkat 28.6 dan 29.4 peratus.

Sepanjang tempoh TBC tahun ini juga, perbelanjaan untuk aktiviti sukan ais dan salji meningkat ketara seiring dengan perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk, sekali gus menjadikan jualan barangan sukan naik 32.4 peratus.