Perubatan Tradisional di Sebalik Kejayaan Gu Ailing

2022-02-10 16:09:30  CRI
Share with:

Gu Ailing Eileen menjuarai pertandingan ski gaya bebas Big Air dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada Selasa, sekali gus meraih emas pertama Olimpik buat China bagi acara salji kategori wanita.

Ski gaya bebas antara acara sukan lasak yang amat mencabar. Selain bakat luar biasa dan latihan bersungguh-sungguh, usaha mengelakkan dan menyembuhkan kecederaan juga penting bagi memastikan atlet dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pertandingan.

Pada 2019, Gu Ailing pernah mengalami ketidakselesaan yang teruk pada pinggang selepas latihan. Ibunya menjemput doktor Dong Liangjie dari unit ortopedik Hospital Perubatan Tradisional Cina Provinsi Henan untuk memberi rawatan kepada Gu Ailing. Selepas menjalani terapi bone setting, Gu Ailing terus sembuh, malah berasa seolah-olah “ditukar tulang belakang baharu”.

Bone setting merupakan rawatan bagi menyembuhkan keseimbangan otot, sendi dan tulang melalui penarikan, reposisi dan penyelarasan tulang, khususnya tulang yang malposisi serta kecederaan tisu lembut.

Dong Liangjie juga dijemput menjadi doktor bagi kontinjen China ke Olimpik 2022.

Selain doktor Dong, Zhu Jiangwei dari Hospital Ortopedik Provinsi Sichuan juga antara doktor untuk pemain ski China yang menyertai Olimpik 2022.

Selain menyediakan rawatan urutan tradisional, doktor Zhu juga memberi nasihat kepada Gu Ailing supaya mengelakkan kecederaan semasa latihan, bagi menjamin keadaan yang terbaik semasa bertanding dalam temasya Olimpik.