Olimpik Beijing 2022: Perkhidmatan Katering Pintar Curi Perhatian

2022-02-11 14:52:19  CRI
Share with:

Perkhidmatan katering di pusat media utama Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing mencuri perhatian ramai dengan dilengkapi pelbagai teknologi pintar, seperti tukang masak robot dan kaedah penghantaran masakan tanpa kontak.

Dalam senario masih wujudnya risiko penularan wabak COVID-19, pendekatan tersebut dapat  meminimumkan penggunaan tenaga manusia dalam penyediaan makanan, sekali gus menjamin kesihatan petugas media dan pekerja kantin.

Dengan keluasannya kira-kira 3,000 meter persegi, kantin itu dibahagikan kepada zon layan diri dan zon pemasakan pintar.

Demi memenuhi keperluan berlainan petugas media dari seluruh dunia, kantin pintar menyediakan masakan dengan pelbagai cita rasa, termasuk masakan China dan Barat.

Menurut petugas kantin, Malatang (rebusan pedas) dan nasi daging kaserol antara hidangan yang paling popular di kantin tersebut.

Teknologi pintar turut menjadi daya tarikan kepada wartawan pelbagai negara untuk merasai sendiri pengalaman dilayan robot di kantin itu.

Pengamal media Poland, Marek Solecki berkata, elemen-elemen berteknologi tinggi di kantin itu sudah tentu meninggalkan impresi mendalam kepada setiap pelanggan.