Olimpik 2022: Presiden IOC Ucap Hargai Kecemerlangan CMG

2022-02-16 13:06:27  CRI
Share with:

Kecemerlangan Kumpulan Media China (CMG) dalam membuat liputan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 sehingga mencapai rekod baharu, dipuji Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach.

Dalam pertemuan dengan Presiden CMG, Shen Haixiong pada Selasa, Bach memberi penghargaan tertinggi terhadap data tontonan yang dikeluarkan apabila lebih setengah bilion penonton direkodkan mengikuti temasya sukan itu menerusi pelbagai platform Stesen Televisyen Pusat China (CCTV) milik CMG setakat 10 Februari.

Setakat 11 Februari, jumlah masa tontonan program terbabit menerusi TV di China mencatat sepanjang 2.05 bilion jam, iaitu 15 peratus lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan tontonan secara gabungan Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 dan Sochi 2014.

Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian CMG dan persahabatan jangka panjang IOC-CMG, Bach juga menganugerahkan Shen Trofi Presiden IOC, arca kontemporari ciptaan Alexander Krivosheiw yang bertajuk "The Sky is the Limit" iaitu simbol perjalanan seorang atlet dalam memburu memenangi pingat emas.

Dalam perkembangan lain, IOC dan CMG turut memperluaskan perkongsian kedua-dua pihak sehingga tahun 2032 baru-baru ini.

Pada Oktober 2021, CMG melancarkan saluran TV Olimpik, yang merupakan saluran sukan pertama di dunia untuk menyediakan perkhidmatan TV bersatelit secara 24/7 dengan memberikan pengalaman Definisi Ultra Tinggi (UHD) 4K dan HD.

Dengan pelancaran saluran itu, ia sekali gus mempromosi Pergerakan Olimpik dan nilai-nilai Olimpik di China, selain turut membolehkan peminat sukan Olimpik di China mendapat akses kepada program, atlet serta cerita sukan Olimpik kegemaran masing-masing.