Xi, Macron Bincang Hasil dan Prospek Menerusi Telefon

2022-02-17 16:26:04  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Perancis, Emmanuel Macron saling berbincang mengenai pelbagai aspek menerusi panggilan telefon pada Rabu.

Selain bertukar-tukar ucapan selamat tahun baharu, kedua-duanya turut saling menyatakan harapan dan sokongan terhadap kejayaan temasya dan atlet Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Menyentuh mengenai hubungan bilateral kedua-dua pihak, Xi menekankan bahawa satu pencapaian yang memuaskan berjaya dicapai antara China dan Perancis pada 2021.

"Jumlah perdagangan dua hala melebihi USD80 bilion (RM335 bilion), sementara jumlah produk pertanian diimport dari Perancis meningkat 40 peratus.

"Seminar Kerjasama AI dan Sains Teknologi Pertanian pertama turut diadakan mengikut jadual dan buku panduan projek makmal diterbitkan secara bersama, sekali gus membawa makna signifikan terhadap kedua-dua pihak," ujar Xi.

Beliau berkata, mengambil semangat tahun baharu, China-Perancis perlu meneruskan hala tuju yang positif, sihat dan maju, meningkatkan interaksi dan dialog pelbagai peringkat, mengintensifkan persefahaman dan kepercayaan dengan mengamalkan prinsip saling menghormati sehingga mendorong kepada pencapaian baharu.

Di samping itu, Xi juga menyatakan kesediaan untuk mendorong pertemuan pemimpin China- Kesatuan Eropah (EU), menganjurkan dialog peringkat tinggi sektor strategik, ekonomi perdagangan, hijau, digital dan sosiobudaya pusingan baharu.

Menurut beliau, usaha untuk terus mempromosi perjanjian pelaburan (BIT) China-EU agar dapat diratifikasikan dengan segera perlu dilakukan kerana ia akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Macron pula menyatakan memandangkan situasi antarabangsa yang tidak menentu, pihaknya berharap untuk mengintensifkan hubungan rakan strategik komprehensif dengan China.

Sebagai pengerusi bergilir EU, Perancis akan mendorong segala agenda positif EU-China, berusaha bersama-sama mendorong hubungan Eropah-China terus berkembang, serta mengharapkan agar BIT EU-China mencapai kemajuan.

Antara isu lain yang dibincangkan kedua-dua pihak adalah berkenaan situasi terkini Ukraine dan Xi menegaskan pihak terbabit perlu mengamalkan wahana multilateral termasuk mekanisme Normandy Format dalam mencari jalan penyelesaian.