Harga Barangan di China pada Januari Stabil

2022-02-17 15:01:52  CRI
Share with:

Indeks Harga Pengguna (CPI) di China pada bulan pertama tahun ini meningkat 0.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala meningkat 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Demikian menurut data Biro Statistik Negara China pada Rabu yang turut membuktikan harga barangan sepanjang Januari 2022 adalah stabil pada keseluruhannya.

Pada masa sama, Indeks Harga Pengeluar (PPI) yang direkodkan menurun secara berterusan iaitu 0.2 peratus berbanding Disember, masih menyaksikan peningkatan 9.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Difahamkan, penurunan PPI pada Januari adalah susulan daripada jatuhnya harga komoditi pukal termasuk arang batu, besi dan keluli.

Bagaimanapun, kadar peningkatan harga arang batu dilihat menurun secara beperingkat-peringkat selepas pengeluaran bahan itu memulih pantas di pelbagai tempat di China.

Untuk 2022, China menetapkan untuk mencapai kestabilan sebagai matlamat utama ekonominya, sambil mencari ruang kepada perkembangan.

Guo Liyan dari Institut Pengajian Ekonomi Makro China menganggap bahawa China telah mencapai hasil yang ketara dengan menyelaraskan usaha mencegah dan mengawal wabak COVID-19 dan membangunkan sosioekonomi.

Beliau berkata, secara tidak langsung, ia memelihara pengoperasian rantai industri dan rantai bekalan sejagat dengan stabil.

Jelas Guo, ia juga membolehkan China terus melaksanakan dasar mata wang stabil, sekali gus memastikan harga barangan berada pada julat munasabah.