Isu Ukraine: Perlu Usaha Bersama Ke Arah Kedamaian

2022-02-20 10:42:51  CRI
Share with:

Semua pihak terlibat dalam isu Ukraine digesa menggalas tanggungjawab dan menyumbang ke arah kedamaian, bukannya hanya bertindak meruncingkan ketegangan, mencetus panik dan mencanangkan perang.

Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi dalam satu sesi khas sempena Persidangan Keselamatan Munich (MSC) ke-58 yang berlangsung secara maya malam Sabtu.

Menurutnya, Isu Ukraine perlu kembali kepada Perjanjian Minsk II kerana ia merupakan perjanjian mempunyai kuasa mengikat yang dicapai menerusi rundingan semua pihak terbabit, dan diiktiraf Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Beliau turut menyifatkan pelaksanaan perjanjian itu sebagai satu-satunya jalan penyelesaian bagi isu Ukraine.

Beliau berkata selaku anggota tetap UNSC, China menentukan pendirian sendiri dan mengendalikan urusan antarabangsa dengan pertimbangan betul dan salah terhadap suatu hal.

Menyentuh tentang prospek isu Ukraine, Wang Yi berkata negara itu patut menjadi jambatan kepada komunikasi Timur-Barat, bukannya medan perlawanan antara kuasa besar.

Beliau juga berkata, sebagai hasil Perang Dingin, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) patut membuat pengubahsuaian yang diperlukan mengikut situasi semasa.