Kejayaan Sukan Olimpik 2022 Suntik Keyakinan Paralimpik

2022-02-24 14:37:49  CRI
Share with:

Menjelang Sukan Paralimpik Musim Sejuk, tiga perkampungan Olimpik iaitu di Beijing, Yanqing dan Zhangjiakou kini mengubah landskapnya menjadi kawasan bebas halangan.

Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Andrew Parsons yang memberikan penghargaan tertinggi terhadap kejayaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 susulan persembahan yang menakjubkan, turut meletakkan harapan tinggi kepada Sukan Paralimpik.

Menurut beliau, berlatarbelakangkan pandemik global, penganjuran temasya sukan ini penuh dengan cabaran.

Namun, Parsons berkata China tetap melakar kecemerlangan dalam melawan wabak semasa temasya itu berlangsung, sekali gus meyakinkannya terhadap kelancaran Sukan Paralimpik Musim Sejuk kali ini.

Beliau turut memberikan pujian terhadap pencapaian China dalam mempopularkan sukan orang kurang upaya (OKU) khususnya sukan ais dan salji di sepanjang proses penyediaan Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2022.

"Sangat menggembirakan melihat China menggabungkan perancangan Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Sukan Paralimpik Musim Sejuk ke dalam rancangan pembangunan negara dalam jangka panjang," ujar Parsons.

Beliau berkata, untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk temasya itu, China dan Jawatankuasa Penganjur Paralimpik Musim Sejuk Beijing telah melakukan usaha yang hebat.

"Mereka (atlet) tidak perlu risau tentang wabak, mereka hanya perlu memberi tumpuan kepada pertandingan dan mempamerkan prestasi tertinggi masing-masing," tambah Parsons.