China Sokong Iraq Realisasikan Keamanan dan Pembangunan Berterusan

2022-02-25 16:24:47  CRI
Share with:

Naib wakil tetap China di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Dai Bing ketika berucap dalam mesyuarat terbuka Majlis Keselamatan PBB bagi isu Iraq semalam menyatakan China akan bersama-sama masyarakat antarabangsa untuk terus menyokong Iraq merealisasikan keamanan yang berkekalan dan pembangunan berterusan.

Dai Bing berkata, cabaran keselamatan yang rumit masih dihadapi Iraq. Masyarakat antarabangsa perlu terus menyokong Iraq dalam usaha membanteras kuasa pengganas seperti Daesh. Di samping itu, negara-negara berkenaan diseru mendorong kerja menapis dan menghantar balik pengganas asing dan ahli keluarganya yang berada di Iraq. Menyentuh tentang tindakan ketenteraan yang dilakukan oleh negara asing secara sepihak di dalam wilayah Iraq, negara itu sudah banyak kali mengeluarkan bantahan. China mendesak pihak terbabit agar menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah Iraq.

Dai Bing menekankan bahawa walaupun pada saat yang paling kritikal, terdapat juga syarikat dari China, sahabat ikhlas rakyat Iraq, memilih tetap bertugas di negara itu untuk menyediakan jaminan wajib bagi kehidupan rakyat dan operasi ekonomi. Selepas pandemik COVID-19 tercetus, China telah menghantar pasukan pakar perubatan ke Iraq di samping berkali-kali menghulurkan bantuan barang termasuk vaksin. Menurut beliau, China akan bersama-sama masyarakat antarabangsa untuk terus menyokong Iraq merealisasikan keamanan yang berkekalan dan pembangunan berterusan.