PBB Perlu Ambil Langkah Kondusif Selesai Isu Ukraine - Duta China

2022-02-28 16:20:47  CRI
Share with:

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan Resolusi 2623 iaitu tuntutan untuk mengadakan sesi kecemasan khas Perhimpunan Agung PBB (UNGA) berhubung situasi Ukraine, pada Ahad.

Wakil Tetap China ke PBB, Zhang Jun yang berkecuali dalam pengundian berkenaan menjelaskan bahawa keadaan Ukraine tidak menentu buat masa ini dan adalah penting untuk semua pihak terbabit kekal bertenang bagi mengelakkan situasi bertambah buruk.


"China menyokong dan menggalakkan segala usaha diplomatik yang kondusif bagi menyelesaikan krisis Ukraine secara damai, serta mengalu-alukan Rusia dan Ukraine mengadakan dialog langsung secepat mungkin.


"Pada masa sama, China juga menyokong Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia berdialog secara saksama mengenai isu keselamatan Eropah dengan berpaksikan konsep keselamatan yang tidak boleh dibahagikan, ke arah membentuk mekanisme keselamatan Eropah yang seimbang, efisien dan mampan," ujar Zhang.


Tegas beliau, UNSC harus memberi keutamaan kepada keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau, sementara memainkan peranan konstruktif dalam usaha menyelesaikan isu Ukraine.


"Tindakan PBB seharusnya dapat membantu meredakan ketegangan semasa, dan mendorong kepada penyelesaian melalui saluran diplomatik agar mengelakkan percanggahan bertambah teruk," katanya.