Atlet Paralimpik Nikmati Khidmat Penterjemahan Pintar

2022-02-28 15:27:35  CRI
Share with:

Peserta Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2022 disediakan khidmat penterjemahan pintar menerusi penambahan kemudahan ergonomik dan sistem pengumuman membabitkan 12 bahasa.

Menurut kastam Beijing, kemudahan tersebut bertujuan untuk membantu atlet melengkapkan urusan kastam dengan lebih cepat di pintu keluar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.

Turut difahamkan, khidmat penterjemahan pintar telah diperkenalkan di lapangan terbang, venue dan gelanggang sukan semasa berlangsungnya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing sebelum ini.

iFLYTEK, syarikat terkenal China dalam sektor kecerdasan buatan (AI), membekalkan sebanyak 200 set mesin penterjemahan kepada pihak pengelola lapangan terbang.

Penggunaan mesin tersebut merangkumi banyak bidang termasuk ketibaan dan perlepasan, perkhidmatan sukarelawan, keselamatan, kastam dan perubatan.

Presiden eksekutif institut penyelidikan iFlytek, Wang Zhiguo berkata, syarikatnya menawarkan kemudahan dan perkhidmatan penterjemahan bagi memudahkan komunikasi tanpa halangan semasa sukan Olimpik dan Paralimpik.

“Selain mesin penterjemahan, kami juga menyediakan sistem telesidang serta perkhidmatan sukarelawan secara maya menerusi teknologi AI kepada mereka yang memerlukan, baik di lokasi pertandingan ataupun di fasiliti lain,” katanya.

Setakat ini, lebih 630 orang alet dan kakitangan dari kontinjen China, Itali, Sweden dan negara lain berdaftar di tiga Perkampungan Paralimpik di Beijing, Yanqing dan Zhangjiakou sejak pembukaannya pada 25 Februari.

Selaku tuan rumah, Beijing melakukan sehabis baik untuk menyajikan temasya sukan yang gemilang dengan penerapan pelbagai teknologi canggih seperti kafeteria tanpa tukang masak dan pelayan di perkampungan Olimpik serta kabin rehat pintar di pusat media.

Dengan menyerlahkan keseimbangan antara tradisi dengan teknologi, Beijing berusaha menyumbangkan idea ke arah kehidupan lestari pada masa hadapan, yang dipermudah dengan adanya kemajuan teknologi.