Perdagangan China, Afrika Rekod Prestasi Terbaik

2022-03-02 14:46:12  CRI
Share with:

Aktiviti perdagangan China-Afrika menyaksikan prestasi terbaik sepanjang tahun lalu, dengan mencatatkan rekod nilai tahunan tertinggi berjumlah AS$254.3 bilion (RM1.06 trilion).

Menurut data terkini Jabatan Pentadbiran Am Kastam (GACC) China, perdagangan berkembang 35.3 peratus pada 2021 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Antaranya, eksport Afrika ke China melonjak sebanyak 43.7 peratus kepada AS$105.9 bilion (RM443 bilion).

Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan China selaku rakan dagang terbesar Afrika selama 12 tahun berturut-turut.

Memetik laporan terbaru Swiss-African Business Circle (SABC), China kekal menjadi pelabur asing terbesar di Afrika buat tempoh sedekad lalu, dengan mewujudkan 18,562 peluang pekerjaan saban tahun.

Dalam lingkungan sejagat, laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) pula menunjukkan perdagangan luar Afrika untuk 2021 kekal kukuh.

Pada suku ketiga tahun lepas, import dan eksport barangan benua itu masing-masing naik sebanyak 31 peratus dan 40 peratus.

UNCTAD berpendapat, aktiviti ekonomi kian pulih di Afrika, disokong oleh persekitaran luaran terutamanya pasaran China berperanan penting dalam meningkatkan lagi kemampuan Afrika untuk mengeksport produk tempatan.

Biarpun pandemik COVID-19 masih berleluasa di dunia, China dan Afrika tidak pernah teragak-agak untuk memperdalam kerjasama dalam perdagangan.

Prestasi yang memuaskan tersebut diperoleh berkat usaha transformasi dimantapkan kedua-dua pihak dalam melaksanakan program kerjasama secara berkualiti dan cekap.

Ia sekali gus mencerminkan sinergi China dan Afrika ketika mengharungi saat-saat getir, dan juga kesungguhan mereka dalam memantapkan lagi kerjasama saling untung.