Pelan Tindakan CAS Sokong Pembangunan Rendah Karbon

2022-03-03 14:53:47  CRI
Share with:

Akademi Sains China (CAS) mengemukakan satu pelan tindakan strategik untuk menyokong matlamat kemuncak pelepasan karbon dioksida menjelang 2030 dan status neutral karbon menjelang 2060.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, CAS memberitahu bahawa pelan tersebut meliputi lapan tindakan utama untuk mencapai matlamat berkenaan menerusi tiga fasa bersandarkan teknologi.

Antaranya termasuk penyelidikan strategik sains dan teknologi, pemajuan teknologi teras, pemupukan bakat dan pemerkasaan kerjasama antarabangsa.

Pengarah Biro Program Sains dan Teknologi Utama CAS, Ding Chibiao memberi penjelasan lanjut tentang matlamat yang disasarkan pada setiap fasa.

"Menjelang 2025, kemajuan dicapai dalam teknologi kritikal yang menyokong sasaran kemuncak pelepasan karbon, sementara pembangunan sosioekonomi beralih ke arah hijau dan rendah karbon.

"Menjelang 2030, teknologi kritikal tersebut mencapai taraf antarabangsa, sekali gus membantu merealisasikan matlamat puncak karbon.

"Menjelang 2060 pula, beberapa teknologi yang dibangunkan sendiri diaplikasikan, secara tidak langsung mendorong kepada matlamat neutral karbon," ujar beliau.

Terdahulu, CAS melaksanakan sekumpulan program khas strategik dan berjaya mencapai hasil signifikan dalam bidang teknologi berkaitan transformasi tenaga, pengendalian perubahan iklim serta pencegahan dan kawalan pencemaran.