PBB Lulus Draf Resolusi Mengenai Situasi di Ukraine

2022-03-03 14:43:44  CRI
Share with:

Sesi khas kecemasan ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat pengundian pada Rabu, meluluskan draf resolusi mengenai situasi di Ukraine yang dikemukakan bersama oleh lebih 90 buah negara termasuk Ukraine.

Draf itu diluluskan dengan 141 undi menyokong, 5 menentang, dan 35 berkecuali. Rusia, Syria, Belarus, Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK), dan Eritrea mengundi menentang, dan China berkecuali.

Wakil Tetap China ke PBB, Zhang Jun menjelaskan bahawa situasi di Ukraine berubah-ubah, dan perkembangannya amat menyayat hati. Pendirian China dalam isu Ukraine adalah konsisten dan jelas. China sentiasa menjunjung prinsip menghormati kedaulatan negara dan keutuhan wilayah semua negara, menyelesaikan pertikaian antarabangsa berdasarkan Piagam PBB.

Zhang menyatakan, perkara yang paling mendesak pada masa ini adalah meredakan ketegangan dan mengelakkan konflik daripada meningkat bahkan tidak terkawal. Rusia dan Ukraine telah mengadakan rundingan pusingan pertama, dan walaupun terdapat perselisihan pendapat, kedua-dua pihak telah menunjukkan kesediaan untuk berunding lagi. China mengalu-alukan sikap tersebut.

Beliau menambah, dalam menghadapi situasi yang amat rumit dan sensitif, China sekali lagi menyeru masyarakat antarabangsa supaya mempertahankan prinsip penyelesaian melalui politik dan mencipta suasana dan syarat yang kondusif untuk dialog langsung antara pihak-pihak terlibat.