Taman Shougang Dibuka Semula kepada Kunjungan Awam, Jadi Destinasi Hangat

2022-03-03 11:53:01  CRI
Share with:


Oleh: Izzati (Hu Xing)

Terkenal sebagai lokasi acara ski gaya bebas Big Air Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, Taman Shougang di Beijing kini dibuka semula kepada kunjungan awam dan menjadi destinasi hangat dalam kalangan masyarakat.

Ketika melawat taman itu, penulis mendapati rata-rata pengunjung teruja untuk berfoto berlatarbelakangkan fasiliti Big Air, iaitu tempat lahirnya empat pingat emas dalam temasya sukan tersebut.

Kebiasaannya, sesudah tamatnya temasya sukan Olimpik, fasiliti Big Air di negara penganjur akan ditutup bagi kegunaan lain.

Namun, buat pertama kalinya, fasiliti Big Air di Taman Shougang yang mempunyai ketinggian sehingga 60 meter, terus dikekalkan kewujudannya.

Walaupun temasya sukan itu telah berakhir, namun keghairahan penduduk tempatan terhadap aktiviti ais dan salji tidak berkurangan.

Ketika penulis menemui beberapa pengunjung, ramai antara mereka yang memilih melawat Taman Shougang untuk dijadikan sebagai sumber inspirasi, termasuk bagi menambah keberanian dan kedinamikan dalam hidup seharian. 

Dibina pada 1919, Taman Shougang yang merupakan bekas kilang besi keluli, turut menjadi simbol kepada proses pembangunan perindustrian di China.

Menjelang Sukan Olimpik Beijing 2008, atas faktor kapasiti ekosistem Beijing yang terhad dan keperluan untuk membangun, Shougang dipindahkan ke provinsi Hebei.

Ruang untuk pengeluaran keluli diubah suai menjadi pejabat jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing; loji kuasa stim diubah menjadi stadium; bengkel arang batu ditukar menjadi pusat latihan sukan musim sejuk kebangsaan; terdapat juga sebahagian ruang yang ditransformasi sebagai taman budaya dan inovasi.

Pada tahun 2021, Taman Shougang juga mengalu-alukan tetamu seluruh dunia melalui Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS).

Selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, taman budaya dan inovasi tersebut semakin terkenal dengan menggabungkan elemen perhotelan, restoran, kedai buku dan tempat hiburan bergaya perindustrian yang sungguh istimewa.

Daripada kilang keluli lama kepada destinasi pelancongan hangat, transformasi Taman Shougang nyata menyaksikan pembangunan yang hijau dan lestari.