Hak Golongan OKU Terjamin di China

2022-03-04 13:27:44  CRI
Share with:

Usaha kerajaan China dalam menjamin pelbagai hak orang kurang upaya (OKU) meletakkan asas kukuh untuk golongan terbabit menyertai aktiviti sukan dan kehidupan sosial serta mencapai pembangunan menyeluruh.

Demikian menurut kertas putih mengenai pembangunan sukan dan jaminan hak OKU yang dikeluarkan Pejabat Penerangan Dewan Negara pada Khamis.

Memetik kertas putih tersebut, penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk Beijing 2022 mendorong kepada peningkatan pesat taraf sukan OKU di China.

Naib Presiden Lembaga Eksekutif Persekutuan OKU China (CDPF), Wang Meimei berkata ini merupakan kali keenam China menyertai Paralimpik Musim Sejuk, dengan skala kontinjen terbesar, bilangan atlet paling ramai dan acara pertandingan paling banyak.

"Untuk edisi kali ini, terdapat 96 atlet China yang bakal bertanding dalam kesemua enam jenis sukan membabitkan 73 acara.

"Atlet para kami (China) akan menunjukkan semangat juang, berusaha mempamerkan aksi cemerlang dan mengharumkan nama tahah air," ujarnya. 

Dari 2015 hingga 2021, bilangan atlet paralimpik musim sejuk di seluruh negara meningkat kepada hampir 1,000 daripada sekitar 50 orang sahaja.

Sejak 2016, China telah mengadakan 'Musim Sukan Ais dan Salji OKU' selama enam tahun berturut-turut sebagai platform untuk golongan OKU menyertai aktiviti sukan berkenaan.