Negara Luar Mahu Perdalam Kerjasama dengan China

2022-03-07 16:35:52  CRI
Share with:

China disifatkan sebagai berjaya dalam meningkatkan ekonomi secara stabil walaupun ketika dunia dihambat penularan pandemik.

Demikian pujian dilontarkan oleh rata-rata tokoh antarabangsa terhadap pencapaian China untuk beberapa tahun lalu ketika menghadiri pembukaan Sidang Ke-5 Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Ke-13, di sini, pada Sabtu.

Duta Besar UAE, Dr. Ali Obaid Al Dhaheri ketika ditemui berkata, prospek pembangunan China dalam bidang ekonomi, inovasi sains dan teknologi telah meyakinkan dunia.

Beliau turut menyatakan bahawa 'lianghui' atau dua sidang yang diadakan secara serentak iaitu NPC dan CPPCC (Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China) adalah tingkap penting untuk dunia lebih mengenali China.

"Sepanjang dua sesi kebangsaan ini, kita boleh mengetahui pelan masa depan China serta menyaksikan pembangunan dan pertumbuhannya.

"Pada masa sama, saya merasakan bahawa ini adalah peluang terbaik untuk kita meminta kerjasama yang lebih dengan China dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sains, teknologi dan inovasi," ujar Ali Obaid.

Timbalan Perwakilan Bangladesh ke China, Mohammad Nazrul Islam pula memberitahu bahawa China memperlihatkan hasil cemerlang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya bidang sains teknologi dan angkasa lepas.

"Saya berharap China akan dapat terus berkembang menjadi lebih baik," tambah beliau.

Beberapa tokoh antarabangsa yang ditemui turut memuji usaha China berhubung komitmen puncak pelepasan karbon menjelang 2030 dan karbon neutral menjelang 2060 untuk menghadapi perubahan iklim global.

Ia selepas China sekali lagi menyenaraikan matlamat 'pengurangan karbon' dalam laporan kerja kerajaan termasuk 'matlamat karbon neutral' serta 'mempromosi puncak pelepasan karbon secara teratur dan melaksanakan pelan tindakan puncak pelepasan karbon'.