Perkukuh Dasar, Jamin Kehidupan Rakyat

2022-03-08 13:37:50  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menyatakan bahawa dasar pembasmian kemiskinan perlu dilaksanakan bertepatan dengan keperluan golongan tersebut.

Beliau berkata, pengagihan dana bantuan perlu dilakukan secara penuh dan tepat pada masanya, di samping terus memperkasa bantuan berbentuk sementara kepada akar umbi.

Demikian ujar Xi yang juga merangkap Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) ketika bertemu dengan anggota Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) daripada sektor pertanian, kebajikan masyarakat dan jaminan sosial, pada Ahad.

Beliau menekankan, usaha pembangunan jaminan sosial yang berkualiti tinggi perlu dimantapkan supaya lebih ramai rakyat akan dilindungi oleh sistem jaminan sosial.

"Kita juga perlu menyempurnakan sistem jaminan sosial terhadap golongan pekerja bebas; memperluas perlindungan insurans pengangguran, kecederaan berkaitan kerja dan bersalin; serta merealisasikan skim perlindungan yang lebih adil bagi menjamin kehidupan rakyat," ujar Xi.

Tambah beliau, pemantauan terhadap tabung jaminan sosial perlu diperhebat, serta memastikan perlindungan terhadap setiap sen wang pencen dan insurans nyawa rakyat.