Visi Besar Di Sebalik Kiasan

2022-03-10 20:04:22  CRI
Share with:


“Rapat-rapat umpama isi delima”, ungkapan metafora yang sering disebut Presiden Xi Jinping, menjadi refleksi peri pentingnya perpaduan utuh antara kaum.


Apabila hadir ke sesi perbincangan bersama wakil Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dari wilayah Mongolia Dalam baru-baru ini, Xi menyatakan masyarakat pelbagai kaum perlu kekal bersatu padu umpama isi delima, dan bersama-sama mengecapi kehidupan yang bahagia.


Selain kiasan “buah delima”, Xi juga pernah memberi gambaran mengenai komuniti hidup lestari bercirikan China pada era baharu berasaskan sebuah lukisan klasik.


Dwelling in the Fuchun Mountains atau Tinggal di Gunung Fuchun, lukisan ciptaan Huang Gongwang pada zaman Dinasti Yuan sekitar 670 tahun lalu.

Dengan elemen landskap kawasan Fuchun di selatan sungai Yangtze kala musim luruh, lukisan ini menggambarkan keharmonian manusia dan alam.


Xi menghidupkan lukisan tersebut dengan menyuntik elemen moden, lantas memberi gambaran mengenai komuniti hidup lestari bercirikan China pada era baharu.


"Isi delima", "Tinggal di Gunung Fuchun" versi moden …… Kiasan-kiasan oleh Presiden Xi seumpama itu mengandungi visi besar dan kebijaksanaan dalam tadbir urus negara. Berikutnya petikan kata-kata kiasan beliau dalam tempoh sedekad lalu.

 

1.     Semangat “Tukul Paku”

“Lakukan segala yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, berbekalkan semangat cekal bagai menukul paku.”

                                          ——Xi Jinping 

Tafsiran:

Tukulan demi tukulan, barulah paku yang diketuk akan terbenam pada tempatnya. Analogi “tukul paku” merujuk kepada pentingnya ketabahan dan usaha berterusan bagi menjayakan sesuatu.


2.     Semangat “Menyulam”

“Pengurusan bandar perlu dilaksanakan secara teliti bagai menjahit sulam.”

                                          ——Xi Jinping 

Tafsiran:

Menyulam memerlukan ketelitian yang tinggi. Jahitan demi jahitan, terhasilnya sulaman rapi lagi halus. Metafora ini membawa maksud pembangunan bandar bersandar kepada cara pengelolaan yang tersusun teliti dan tepat.

 

3.     Orang-orangan

“Bagi sesetengah individu, disiplin dipandang sepi bak orang-orangan jerami. Disiplin ketat mesti ditegakkan.”

                                          ——Xi Jinping 

Tafsiran:

Andai disiplin diabaikan seperti orang-orangan, gejala rasuah akan bermaharajalela hingga menjatuhkan imej parti pemerintah dan kehilangan sokongan rakyat.

 

4.Cermin

“Perkara kecil diibaratkan seperti cermin; ia adalah refleksi kepada integriti parti, pegangan prinsip dan moraliti.”

                                          ——Xi Jinping

Tafsiran:

Sahsiah atau keperibadian seseorang dapat dilihat menerusi suatu perkara kecil. Beranalogikan cermin, Presiden Xi Jinping menuntut penjawat awam supaya membentuk akhlak mulia dan terus menambah baik diri dari sekecil-kecil perkara.

 

5.   Kuda Kecil Heret Pedati Besar

“Perlu beriltizam menghapuskan kemiskinan mutlak sambil menetapkan matlamat secara realistik. Adalah sukar untuk mencapai matlamat jika ia di luar batas kemampuan, begitu jua ibarat kuda kecil tidak berdaya mengheret pedati besar.”

                                          ——Xi Jinping 

Tafsiran:

“Kuda kecil heret pedati besar” membawa maksud perbuatan melakukan sesuatu di luar kemampuan diri hanya akan menimbulkan kesan yang tidak dihasratkan. Memetik ungkapan metafora ini, Presiden Xi Jinping menentukan hala tuju kempen membasmi kemiskinan dalam negeri.

 

6.   Semangat “Gigit Tulang Keras”

“Perlu berani rempuh rintangan dan halangan dari segi pemikiran dan pertimbangan kepentingan diri tatkala memperdalam pembaharuan. Perlu tunjuk keberanian ibarat menggigit tulang keras dan meranduk jeram berbahaya.”

                                          ——Xi Jinping 

Tafsiran:

Analogi “gigit tulang keras” merujuk kepada semangat tidak gentar berdepan kesukaran serta keberanian menghadapi segala ujian dan cabaran yang mendatang.

 

7.  “Mata” dan “Nyawa”

“Lindungi alam sekitar bak mata dan nyawa sendiri.”

                                          ——Xi Jinping

Tafsiran:

Metafora "mata" dan "nyawa" membawa maksud alam semula jadi mudah terancam, tidak dijanjikan ada peluang kedua sekiranya ia musnah. Metafora ini adalah manifestasi pemikiran Presiden Xi Jinping tentang tamadun ekologi, yang menghuraikan sama pentingnya memelihara alam sekitar dengan menjaga kesejahteraan manusia.

 

8. “Pokok”

“Tebang pokok yang reput, rawat pokok yang sakit, tegakkan pokok yang bengkok. Penjawat awam mesti berwaspada dan menjaga tingkah laku diri sendiri.”

                                          ——Xi Jinping

Tafsiran:

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitu juga bagi ekologi politik. Metafora “pokok” ini merujuk kepada komitmen Parti Komunis China mendisiplinkan anggotanya secara ketat. Segala permasalahan akan dicantas dari tunas, hingga tiada ruang berlakunya gejala rasuah.

 

9. Lubang Sekecil Mata Jarum Pun Boleh Diterobos Dek Angin Kencang

“Lubang sekecil mata jarum masih boleh diterobos angin yang meniup kencang. Jitukan semangat untuk terus berjuang melawan wabak COVID-19.”

                                          ——Xi Jinping

Tafsiran:

Ungkapan ini bermakna, udara dingin boleh menusuk masuk menerusi lubang kecil pada tingkap. Sedikit kecuaian boleh membawa padah. Bermotivasikan kata-kata Presiden Xi Jinping, China melaksanakan langkah pencegahan lebih ketat untuk membendung penyebaran COVID-19.