Kapten Hoki Ais yang Berusia 14 Tahun

2022-03-15 14:09:38  CRI
Share with:

"Saya suka hoki ais! Saya suka piano dan tarian, dan saya masih aktif kesemuanya hingga sekarang," itulah yang dimahukan oleh Pu Yongxi, 14, gadis dengan ketinggian 1.7 meter iaitu kapten pasukan hoki ais wanita bandar Nanjing.

"Melalui hoki ais, Pu belajar berdikari dan belajar bekerjasama," ujar ibunya pula.

Menurut Pu, bermain hoki ais membolehkannya berkenalan dengan banyak pemain hoki muda dari dalam dan luar negara, selain turut mendapat ramai rakan yang berfikiran sealiran.

"Dalam pertandingan dengan pasukan berperingkat lebih tinggi, saya telah mengumpul pengalaman dalam pertandingan; manakala dalam pertandingan yang gaya berbeza, semangat pula diperkukuh.

"Semakin sengit persaingan, semakin banyak semangat juang yang saya ada. Setiap kali saya menamatkan perlawanan, tahap kemampuan saya meningkat," ujar Pu.


Pada 2017, sekolah rendah di mana Pu Yongxi menuntut, menubuhkan pasukan hoki ais perempuan dan Pu Yongxi dilantik sebagai kapten. Pada waktu itu, ia merupakan satu-satunya pasukan hoki ais wanita remaja di bandar Nanjing malah provinsi Jiangsu.

Sejak itu, Pu Yongxi dan anggota pasukan hoki ais wanitanya menjalankan latihan selama 90 minit setiap malam pada Isnin dan Khamis.

Sukan ais dan salji bukanlah sesuatu asing di bandar-bandar di utara China.

Pada beberapa tahun lalu, sukan tersebut berkembang pesat di lebih banyak bandar di selatan China dan pasukan hoki ais wanita Pu Yongxi pernah menjadi naib juara kebangsaan dalam pasukan wanita bawah 12 tahun Kejohanan Hoki Ais Remaja Kebangsaan.

Atlet yang terdiri daripada pelajar sudah tentu tidak mempunyai banyak masa latihan seperti pasukan profesional. Justeru, bagaimanakah individu seperti Pu mampu mengimbanginya?

Jelas Pu, keinginannya untuk bermain hoki ais membuatkan dirinya perlu lebih cekap dalam pembelajaran.

Bagi gadis muda ini, sama ada latihan atau pertandingan, membuat kerja sekolah pada bila-bila waktu lapang sudah menjadi satu kebiasaan.

Hoki ais merupakan acara sukan berpasukan. Selain bekerjasama antara satu sama lain dalam latihan dan pertandingan, ia juga amat penting untuk berkongsi tekanan.

"Setiap kali saya berasa sangat penat kerana belajar atau berlatih, apabila saya memikirkan mereka (rakan sepasukan), saya mempunyai motivasi untuk terus bertahan.

"Saya adalah kapten, rakan sepasukan saya memerlukan saya, dan saya perlu memenuhi harapan mereka terhadap saya," kata Pu.