Ketua Diplomat PKC Huraikan Pendirian Tentang Situasi Ukraine

2022-03-15 14:25:37  CRI
Share with:

Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Yang Jiechi menghuraikan pendirian China mengenai situasi Ukraine dalam pertemuan dengan Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan di Rom, Itali pada Isnin lalu.

Yang Jiechi yang juga Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat PKC berkata, China tidak pernah mengharapkan perkembangan situasi Ukraine pada tahap sekarang ini. Negara ini sentiasa berpendirian menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah pelbagai negara, serta berpegang kepada manifesto dan prinsip yang terkandung dalam Piagam PBB.

"China berusaha untuk mendorong rundingan damai, dan masyarakat antarabangsa sepatutnya bersama-sama mendukung rundingan damai Rusia-Ukraine mencapai hasil substantif bagi mendorong  situasi  kini mereda dengan secepat mungkin.

"Pelbagai pihak perlu menahan diri secara maksimum, melindungi rakyat jelata dan mencegah terjadinya krisis kemanusiaan yang berskala besar.  China sudah menyediakan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada Ukraine dan akan terus memberikan sumbangan dalam usaha tersebut,” kata Yang.

 Yang Jiechi mencadangkan asal-usul sejarah isu Ukraine perlu disusun dan dipastikan dengan tepat bagi memberi respons kepada pihak-pihak terbabit yang mempunyai kebimbangan yang rasional.

“Pelbagai pihak perlu memandang ke arah jauh dan mengamalkan konsep keselamatan secara aktif, berkongsi, komprehensif, kerjasama dan mampan, menggalakkan dialog secara sama rata, membentuk mekanisme keselamatan Eropah yang seimbang, berkesan dan mampan berdasarkan prinsip 'keselamatan yang tidak dapat dipisahkan', bagi mengekalkan keamanan di Eropah malah di seluruh dunia," katanya.

Jiechi menegaskan, China menentang sebarang berita palsu dan fitnah yang bertujuan memutarbelitkan dan mencemarkan pendirian China.