China akan Terus Tingkatkan Tahap Keterbukaan

2022-03-18 15:13:08  CRI
Share with:

Urusniaga korporat asing di China adalah stabil pada Januari hingga Februari lalu, di samping penggunaan pelaburan asing yang berjumlah melebihi USD100 juta meningkat sebanyak 74.3 peratus berbanding dengan tempoh sama tahun lalu.

Demikian maklum jurucakap Kementerian Perdagangan China, Gao Feng dalam sidang taklimat di sini, pada Khamis.

Menurutnya, jumlah penggunaan pelaburan asing sebenar pada dua bulan pertama tahun ini meningkat 37.9 peratus berbanding dengan tempoh sama 2021 dan turut mencatat rekod tertinggi baharu.

Jelas Gao, prestasi tersebut didorong oleh tiga faktor utama iaitu kemampanan pertumbuhan ekonomi China dalam jangka panjang, keberkesanan dasar menstabilkan pelaburan asing dan iklim perniagaan di China yang semakin baik.

"Sejak awal tahun ini, ekonomi terus pulih dengan mantap, permintaan terhadap pengeluaran meningkat dengan pesat, dan penggunaan pulih secara berterusan. Kesemua elemen ini meningkatkan keyakinan pelabur asing," ujarnya.

Menurut laporan tinjauan yang masing-masing dikeluarkan oleh Dewan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) di China dan Dewan Perdagangan Jerman di China baru-baru ini, 83 peratus syarikat AS dan 96 peratus syarikat Jerman terus bersikap optimistik terhadap pasaran China.

Pada masa sama, sebanyak 66 peratus syarikat AS dan 71 peratus syarikat Jerman bahkan merancang untuk meningkatkan pelaburan di China.

Menurut statistik, untuk dua bulan pertama 2022, pelaburan sebenar AS dan Jerman di China masing-masing meningkat 36.4 peratus dan 109.1 peratus.

Antara sumber utama pelaburan asing yang lain, pelaburan dari Singapura dan Korea Selatan masing-masing meningkat 24.1 peratus dan 24 peratus, dan negara-negara yang terlibat dengan inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan ASEAN masing-masing meningkat 27.8 peratus dan 25.5 peratus.

Mengulas mengenai dasar memantapkan pelaburan asing, Gao berkata kekhuatiran korporat asing pada tahun lalu dipandang serius oleh pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.

Beliau berkata, beberapa dasar dikeluarkan untuk memastikan penyertaan secara sama rata pelaburan domestik dan asing dalam pemerolehan projek kerajaan, menyokong pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) asing menikmati dasar kutipan cukai keutamaan untuk import inovasi saintifik dan teknologi serta langkah-langkah keutamaan yang lain.

Gao memaklumkan bahawa China akan terus meningkatkan tahap keterbukaan untuk mengalu-alukan pelabur dari seluruh dunia.

Sehubungan dengan itu, katanya, China komited menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan membina iklim perniagaan yang berorientasikan pasaran, undang-undang dan antarabangsa.